Pengambilan suhu umat adalah sebahagian SOP yang ditetapkan
Oleh Linda Edward
9 Ogos 2020
BUKIT PADANG – Berikutan kekhuatiran ke atas kes positif COVID-19 yang berlaku di Church of Mary Immaculate (CMI) pada 4 Ogos yang lalu, Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu berkata umat CMI yang lain yang hadir dalam Misa pada 19 Julai dan 26 Julai itu, tidak perlu menjalani ujian saringan COVID-19.
Di dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 8 Ogos, pihak pejabat kesihatan berkata umat tidak perlu risau mengenai situasi COVID-19 yang berlaku di gereja tersebut.
“Umat tidak perlu risau kerana risiko jangkitan dalam kalangan umat yang hadir adalah sangat rendah kerana pematuhan SOP yang sangat ketat oleh pihak gereja.
“Namun jika ada di antara umat yang hadir pada tarikh tersebut mengalami gejala jangkitan seperti demam, selesema, batuk, hilang deria rasa dan/atau bau serta sakit kepala dinasihatkan untuk hadir ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk menjalani ujian saringan COVID-19,” kata pejabat tersebut.
Paderi paroki Fr Paul Lo pada Selasa (4 Ogos) telah mengambil keputusan untuk menghentikan perjalanan Misa selama dua minggu dari 5-18 Ogos, berikutan pengesahan kes positif tersebut untuk keselamatan semua umat.
Ramai umat yang lain telah menghubungi pejabat CMI untuk mendapatkan kata putus samada mereka harus menjalani ujian saringan atau tidak.
Untuk maklumat lanjut, umat bolehlah menghubungi Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu di talian 088-726352.
Berikut adalah kenyataan daripada Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu:
Merujuk kepada kenyataan surat yang diedarkan oleh Church of Mary Immaculate Bukit Padang, Kota Kinabalu mengenai Kekuatiran ke atas kes positif COVID-19 di Church of Mary Immaculate bertarikh 7 Ogos 2020 dan ditandatangani oleh Fr Paul Lo adalah berkaitan.
Setelah membuat penelitian khusus, maka pihak pejabat ini ingin menyatakan bahawa umat yang hadir dalam misa pada 19 Julai 2020 dan 26 Julai 2020 tidak perlu risau mengenai dengan situasi COVID-19 yang berlaku di gereja tersebut. Ini kerana risiko jangkitan dalam kalangan umat yang hadir adalah sangat rendah kerana pematuhan SOP yang sangat ketat oleh pihak gereja.
Selain itu, umat yang hadir dalam misa tersebut juga tidak perlu menjalani ujian saringan COVID-19. Namun jika ada di antara umat yang hadir pada tarikh tersebut mengalami gejala jangkitan seperti demam, selesema, batuk, hilang deria rasa dan/atau bau serta sakit kepala dinasihatkan untuk hadir ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk menjalani ujian saringan COVID-19.
Pihak PKK Kota Kinabalu ingin mengingatkan orang ramai untuk terus berkerjasama dalam mengawal dan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dengan mengamalkan norma baharu seperti menjaga kebersihan diri, penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.
Sebarang pertanyaan lanjut sila hubungi Bilik Gerakan COVID-19, Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu di talian 088-726352.
Sekian dan terima kasih.
Bilik Gerakan (CPRC) COVID-19,
Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu
Tarikh : 8 Ogos 2020