Uskup Agung, para paderi, pemimpin paroki dan penerima Sakramen Penguatan mewakili keseluruhan paroki memotong kek ulang tahun ke-8 paroki Inobong pada 12 Jun
Oleh Linda Edward
June 14 2022
INOBONG – Uskup Agung John Wong berkata dia sangat gembira melihat kesatuan, keharmonian dan keunikan paroki Holy Trinity Inobong apabila prelatus itu membuat lawatan pastoralnya pada 12 Jun lalu di Gereja Sacred Heart Inobong.
Sebelum Misa Kudus pada jam 10.00am, Uskup Agung telah mengadakan mesyuarat singkat, satu kebiasaan semasa lawatan pastoralnya, membincangkan hal-hal pastoral, pembangunan fizikal dan kewangan paroki, bersama para paderi, Majlis Pastoral Paroki (MPP) dan Majlis Kewangan dan Harta Benda Paroki.
Di dalam ucapannya selesai Misa Kudus, Uskup Agung berkata, “Walaupun mesyuarat ini hanya singkat, tapi saya lihat kesatuan, semua (pemimpin) datang.
“Teruskan semangat ini, solidariti ini bersama paderi kamu untuk membangunkan paroki ini,” katanya.
Dia juga berkata hal yang sama kepada umat, “Tahniah kepada kamu semua, saya dapat melihat semangat kamu semasa Misa Kudus ini dijalankan, di dalam nyanyian mahupun di dalam respon kamu.
“Ini melambangkan satu komuniti yang bersemangat, berpusat kepada Kristus. Kekalkan semangat ini, iman ini,” katanya.
Prelatus tidak hanya berada di paroki ini untuk lawatan pastoral, tetapi untuk meraikan Pesta Tritunggal Mahakudus, Ulang Tahun Ke-8 Paroki dan untuk melaksanakan Sakramen Penguatan.
“Jangan fikir, jangan analisa Tritunggal Mahakudus”
Uskup Agung berkata di dalam homilinya, “Untuk merasai kehadiran Tritunggal Mahakudus di dalam kehidupan kita, jangan fikir, jangan analisa Tritunggal.”
“Manusia sering tolak Tritunggal Mahakudus ini kerana mahu menguasai hidup sendiri.
“Walaubagaimanapun Tuhan tidak pernah meninggalkan kita tetapi Dia menghantar Anaknya yang Tunggal untuk membawa kita kembali kepadaNya.
“Tuhan begitu ingin bersama dengan kita, adakah kita benarkan Dia untuk menyertai kehidupan kita?” kata prelatus.
149 terima sakramen penguatan
Dia juga menyempurnakan Sakramen Penguatan ke atas 149 calon dari gereja-gereja di bawah Holy Trinity iaitu 56 calon dari Inobong, 50 calon dari Babagon, 31 calon dari Pogunon, tujuh dari Madsiang, empat dari Kibunut dan satu dari Moyog.
Gereja yang kini mulai hidup kembali pasca Covid-19 menyaksikan ruangan gereja yang penuh, dengan kedatangan hampir 1,200 umat.
149 telah menerima Sakramen Penguatan semasa Misa Kudus Tritunggal Mahakudus
Kembali semula ke gereja
Setelah mendiang Fr Alex Sipanul kembali kepada Tuhan pada 9 Apr yang lalu, Uskup Agung telah menetapkan Fr Sunny Chung daripada Katedral Hati Kudus sebagai Pentadbir Paroki Holy Trinity sehingga satu waktu yang akan dinyatakan kelak.
Fr Sunny mengisi kekosongan ini bermula pada 18 Apr, melayani di samping Fr Jack Johimi, mentadbir semua kerja-kerja pastoral dan pentadbiran paroki.
Di dalam ucapannya, Fr Sunny berkata perasaan ‘sense of belonging’ adalah penting dalam kehidupan gereja.
“Tanpa ‘sense of belonging’, tanpa rasa kita adalah sebahagian daripada paroki ini, kita akan melihat bahawa hanya sebahagian orang yang diperlukan, hanya sebahagian orang yang harus melakukan kerja-kerja pelayanan atau kerja-kerja fizikal pembangunan paroki.
“Setiap umat harus mempunyai perasaan bahawa kita adalah sebahagian daripada paroki ini, yang menjadikan paroki ini lengkap kata Fr Sunny.
Justeru Fr Sunny menyeru umat paroki agar kembali semula ke gereja untuk sama-sama membangun paroki ini.
“Kesatuan adalah apa yang kita inginkan bagi paroki ini supaya semua gereja-gereja di bawah naungan Holy Trinity sentiasa dapat bersatu dan sentiasa dapat memberikan komitmen yang sungguh-sungguh, yang tinggi kepada pembangunan rohani dan fizikal bagi paroki kita.
“Melihat kepada pandemik yang sedang masuk kepada endemik, kita melihat gereja semakin hidup kembali, kehidupan gereja semakin kembali kepada normal maka kita memerlukan komitmen ramai orang, untuk sama-sama membangun paroki ini secara rohani dan fizikal,” katanya.
Acara fellowship
Perayaan Pesta Tritunggal Mahakudus, penaung paroki Holy Trinity ini disusuli dengan acara makan dan fellowship di dewan paroki.
Sambutan diwarnai dengan persembahan pentas dalam bentuk tarian, nyanyian solo, nyanyian berkumpulan dan bermain alat muzik, oleh komiti paroki dan individu termasuk penerima-penerima sakramen penguatan.
Uskup Agung juga menerima cendera kenangan daripada MPP Holy Trinity.