130 perwakilan paroki Kiulu menyertai pelancaran PMPC 2026 di Gereja St Joseph pada 27 Ogos
Oleh Angela Juanis
Sep 6 2022
KIULU – St Joseph Kiulu telah melancarkan Pan Malaysia Pastoral Convention (PMPC) 2026 di peringkat paroki pada 27 Ogos lalu setelah dilancarkan di peringkat keuskupan agung pada 27 Julai. Seramai 130 orang perwakilan daripada lima zon iaitu Zon Kiulu, Zon Lokub, Zon Pukak, Zon Mangkaladom dan Zon Malanggang hadir bersama.
Turut hadir dalam pelancaran tersebut adalah Fr Lasius Gantis, Sr Jane fsic dan Sr Marysia fsic. Fr Lasius memimpin umat dalam doa pembukaan sebelum acara dijalankan.
Pengerusi Tim PMPC paroki Kiulu, Rinus Katong, memberi penerangan tentang PMPC dan tanggungjawab perwakilan selepas pelancaran tersebut. Rinus menyeru perwakilan agar membawa peristiwa bersejarah ini di tempat masing-masing untuk menuju ke PMPC 2026.
Untuk menambah pengetahuan, sebuah klip video bertajuk ‘Perjalanan Kita dari Prefektur ke Provinsi Gereja’ ditayangkan kepada para perwakilan.
Mereka juga diberi penerangan mengenai proses menuju PMPC 2026 oleh ahli tim, Ronald Ladimin. Ronald mengajak para pewakilan untuk merenung kembali misi perjalanan misionaris atau misi penginjilan yang terdahulu di ketiga-tiga keuskupan di Sabah.
Ronald membawa umat “merayakan, mendengar dan berjalan di dalam terang Tuhan” iaitu tema PMPC 2026, sesuai dengan fokus utamanya iaitu Keluarga, Gereja, Masyarakat dan Ekologi.
Dia berkata para perwakilan perlu melihat, menilai dan bertindak di peringkat chapel, zon dan seterusnya di peringkat paroki untuk keberhasilan Misi dan Visi PMPC 2026.
Pelancaran diakhiri dengan perayaan Ekarisiti yang dipimpin oleh Fr Postinus Kurup. Di dalam amanatnya, Fr Postinus menekankan agar para perwakilan berani menjadi saksi Kristus sebagai garam dan terang dunia khususnya di tempat masing-masing sesuai dengan Misi dan Visi PMPC 2026 demi kemuliaan Tuhan.
Fr Postinus Kurup menyampaikan banner ‘Perjalanan PMPC 2026’ kepada lima zon paroki Kiulu selesai Misa