Gambar atas: Misa Kudus pembukaan “Sinode Gereja” dipimpin oleh Fr Paul Lo bersama Fr Rusell Lawrine pada 23 Okt. Gambar bawah: Uskup Agung John Wong bersama dengan umat dalam kumpulan perbincangan
Oleh Nelson Fernandez
Oct 29 2021
DONTOZIDON – Proses Persiapan Synodal peringkat Paroki St Paul Dontozidon yang dihadiri oleh semua MPP daripada Gereja St Paul Dontozidon, Our Lady Queen Of Peace, Kobusak dan St John The Baptist, Kopungit bersama dengan Para katekis, ketua-ketua KUK dan Sister untuk berbincang mengenai “Sinode”.
Perjumpaan pada 23 Okt itu dimulakan dengan Misa Kudus pembukaan yang dipimpin oleh Paderi Paroki Fr Paul Lo, dibantu oleh paderi pembantu Fr Rusell Lawrine.
Dalam homilinya, Fr Paul menjelaskan bahawa sinode adalah satu proses perhimpunan iaitu berjalan bersama. Maka dalam proses ini semua umat Gereja akan terlibat dalam membincangkan topik tersebut.
Beliau memetik dalam pembacaan injil bahawa Tuhan Yesus mengundang kita ke satu perjalanan iaitu perjalanan pertobatan di samping mengajak umat agar sentiasa beringat akan kasih Yesus dan sentiasa berdoa.
Selepas Misa Kudus, program bersambung di Dewan Paroki dimulakan dengan Pentakhtaan Alkitab oleh Fr Rusell Lawrine. Dalam proses sinode ini, ianya merupakan salah satu persiapan sebelum memulakan perbincangan.
Fr Paul, menerangkan maksud dan tujuan sinode tersebut. Menurutnya, proses sinode ini bukan saja berlaku dalam rumah bahkan seluruh Gereja dan umat Tuhan harus terlibat bersama. Sinode ini bermaksud Perhimpunan atau pun “Berjalan Bersama” yang membawa tema “Sinode Gereja: Persekutuan, Penyertaan dan Misi”.
Proses sinode ini adalah untuk kita mendengar antara satu sama lain tetapi bukan untuk mengajar atau pun menyuruh. Proses ini berjalan dalam suasana berdoa iaitu proses kerohanian sebab ianya satu rekomendasi yang sangat kuat yang mengingatkan kita akan kebangkitan Yesus yang menampakkan diriNya kepada dua orang murid Yesus yang putus harapan atas kematianNya dan kembali ke Emmaus, dan dalam perjalanan Yesus muncul menampakkan diriNya dan mereka “Berjalan Bersama”.
Dalam proses Sinode ini juga kita boleh melakukan apa saja cara persiapan berdoa selain pentakhtaan Alkitab, seperti berdoa pagi atau petang, rosari, puji-pujian ataupun mengikut kesesuaian komiti atau kumpulan itu, sebab dalam proses ini kita akan mendengar antara satu sama lain adalah juga seperti kita mendengar sabda Tuhan melalui Roh Kudus.
Dalam perjumpaan ini, semua yang hadir dibahagikan kepada tiga kumpulan di mana setiap kumpulan akan membicangkan topik dan persoalan yang telah di sediakan oleh pengerusi MPP Hermes Sikajat.
Perbincangan ini juga turut di hadiri oleh Uskup Agung John Wong yang duduk bersama dalam kumpulan untuk mendengar setiap jawapan atau perkongsian dari umat.
Kehadiran Uskup John ini adalah untuk melihat cara proses Sinode yang dijalankan, ini kerana Paroki St Paul Dontozidon adalah yang pertama menjalankan proses sinode ini selepas ianya dilancarkan di Peringkat Diosis Agung Kota Kinabalu di Katedral Hati Kudus pada 17 Okt lalu.
Pada tengah harinya selepas makan, program disambungkan lagi di mana setiap kumpulan membentangkan hasil perbincangan masing-masing. Hasil pembentangan ini dikumpul dan akan difailkan untuk proses kemas kini sehingga selesai kesemua komiti atau kumpulan di Paroki Dontozidon mengadakan perjumpaan Sinode.
Fr Paul Lo menutup proses Sinode ini pada jam 1.30 tengahari dengan doa penutup.