SETIAP kali saya berziarah ke Tanah Suci, saya ingin melawat “makam orang yang adil” di Nazaret. Ia terletak kira-kira seratus ela dari Gereja Annunciation.
Pada pertengahan 1800, para Sisters di Nazaret membeli sebidang tanah untuk membina sekolah. Pemilik tanah menjual tanah itu, mengekalkan di dalamnya, tersembunyi, makam orang yang adil.
Para Sisters tidak mengendahkan maklumat ini, menganggap ia adalah cara seorang saudagar Arab untuk mendapatkan lebih banyak wang untuk sebidang tanah itu. Kemudian, penemuan secara tidak sengaja membawa mereka ke gereja gua zaman Byzantine, sebuah rumah Roma dengan makam di mana bau kemenyan menunjukkan tanda-tanda yang jelas ada pemujaan berlaku di situ.
Para Sisters kini membenarkan kumpulan penziarah kecil melawat tempat itu dan merujuk kepada kubur yang indah ini sebagai “makam orang yang adil”.
Seseorang mungkin tertanya-tanya berapa ramai penduduk yang tinggal di Nazaret pada zaman Yesus. Mungkin tidak lebih daripada beberapa ratus. Maka siapakah yang akan dikenang di antara mereka sebagai orang yang adil? Bukankah Yusuf disebut orang yang adil atau benar dalam Injil?
Sempena perayaan Pesta Sto Yusuf, mungkin ada baiknya kita bertanya kepada diri kita sendiri apakah yang dimaksudkan dengan adil atau benar? (Matius 1:19)
Dalam kitab Amsal, kita baca, “Sebab tujuh kali orang benar jatuh, namun ia bangun kembali, tetapi orang fasik akan roboh dalam bencana” (24:16).
Dengan kata lain, orang yang adil bukanlah orang yang tidak pernah berbuat dosa, tetapi dosanya tidak membawanya kepada keputus-asaan atau kebinasaan. Sebaliknya, dia belajar dari dosa dan kesilapannya. Mengakui kesalahannya, dia meminta nasihat yang membawa kepada kebenaran (hanya Tuhan yang adil dan benar). Dia bangkit dan bertahan sehingga dia mencapai matlamatnya.
Beberapa ketika dahulu, seorang lelaki separuh umur yang menghidap kanser tekak datang berjumpa doktor/paderi meminta bantuan untuk mati kerana takut mati tercekik. Doktor memberitahunya, “kalau saya janji kamu tak akan tercekik, kamu mau rawatan saya?” Lelaki itu bersetuju untuk dirawat di hospital.
Doktor memberi ubat kepadanya supaya dia boleh hidup dengan selesa. Dia juga membantunya memulihkan hubungan dalam keluarganya, yang telah banyak menderita kerana penyakitnya. Lapan bulan menjalani rawatan, lelaki itu dan keluarganya adalah orang yang gembira. Mereka berkata bahawa ini adalah masa terbaik dalam hidup mereka.
Doktor ini bertindak dengan cara yang betul. Nasihatnya mencerminkan kebenaran daripada Tuhan yang “tidak berkenan kepada kematian orang fasik, melainkan supaya dia hidup” (Yehezkiel 18:23).
Yusuf berada dalam keadaan yang sukar. Maria tunangnya, setelah hamil, boleh dilempari batu hingga mati, dan menurut undang-undang, dia mempunyai hak untuk melepaskannya.
Sebagai seorang yang adil atau alim, Yusuf ingin hidup menurut hukum Tuhan. Namun, dia tidak mementingkan diri sendiri, kerana mementingkan diri sendiri akan menyebabkan dia menuntut keadilan yang keras. Sebaliknya, dia memutuskan untuk menceraikannya secara senyap-senyap supaya dia tidak menyebabkan Maria penderitaan yang tidak patut dan rasa malu.
Keputusannya menunjukkan belas kasihan di hadapan dosa. Terdapat keseimbangan antara hukum Taurat dan Kasih.
Akhirnya, betapa mulia pun keputusan ini, ia bukanlah yang menjadikan Yusuf adil atau benar. Namun demikian, dia dipanggil “yang adil”, dan kuburnya disebut sebagai “makam orang yang adil” kerana Yusuf menjalani apa yang tertulis dalam Kitab Habbakuk “orang benar itu akan hidup oleh percayanya” (2:4b) kerana “ia melakukan seperti yang diperintahkan Malaikat Tuhan kepadanya; ia mengambil isterinya.”
Soalan-soalan:
- Adakah saya mengalami tanda-tanda bahawa Tuhan itu adil dalam hidup saya?
- Apabila saya rasa saya telah berdosa dengan teruk, apa sepatutnya yang harus saya inginkan?
____________________
Fr Guido Gockel MHM
Seorang ahli St Joseph’s Missionary Society of Mill Hill, berpusat di London, Father Guido ditahbis menjadi paderi pada tahun 1969. Sejurus selepas pentahbisannya, dia diutus ke Malaysia (Sarawak) di mana dia melayani sebagai misionaris selama 18 tahun.
Sewaktu bercuti di Sabah, dia diperkenalkan kepada sekumpulan anak muda yang terlibat dengan Pergerakan Karismatik (CCR). Pengalaman ini membantunya menjadi instrumental dalam memperkenalkan CCR di Miri, Sarawak, di mana dia diberi misi di stasi luar.
Setelah tujuh tahun tempoh misionarisnya yang pertama pada awal tahun 70-an, dia kembali ke Malaysia untuk tiga lagi misi dan banyak lawatan jangka pendek. Dia tahu berbahasa ‘Melayu pasar’ dan lain-lain Bahasa negeri Sarawak.
Catholic Sabah berpeluang mendekati Fr Guido, yang sangat bermurah hati memberi masanya untuk menulis selama satu tahun di bawah kolum bertajuk “I’m On My Way”, sejak pelancaran portal online Catholic Sabah pada tahun 2020.
Berbekal sedikit galakan, Fr Guido bersetuju untuk terus menulis, dan Catholic Sabah membuat keputusan untuk memuat naik penulisannya sekali sebulan, dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.
Fr Guido terbuka untuk sebarang soalan untuk perbincangan dan penjelasan lanjut. Dia boleh dihubungi melalui emel frguidomhm@gmail.com.