Bergambar dengan Fr Florian Marcus selepas Misa ialah empat orang guru dan 29 pelajar Katolik
Oleh Jezebell Johan
Oct 22 2022
KOTA BELUD – Sek Keb St Edmund, iaitu satu-satunya Sekolah Mission Catholic di daerah itu melakar sejarah apabila para pelajar Katolik seramai 29 murid yang diselia dengan empat orang guru mengadakan Misa pelajar buat pertama kalinya pada 7 Okt 2022 bertempat di Gereja St Edmund.
Petugas Liturgi semasa Misa Kudus dikendalikan sepenuhnya oleh murid-murid Katolik SK St Edmund (M). Misa Kudus itu meriah dengan kehadiran ibubapa, para pelajar dan guru-guru Katolik dari sekolah jiran iaitu SMK Arshad, SK Pekan dan SJK(C) Chung Hwa.
Berikutan dengan hari yang bersejarah itu, maka Misa Kudus pada hari Jumaat, minggu pertama pada setiap bulan akan dijadikan sebagai program tetap dalam takwim sekolah SK St Edmund (M).
Semoga Misa pelajar ini akan menjadi rutin bulanan bagi pelajar sekolah jiran juga dan kolaborasi dapat dikembangkan, dengan harapan pelajar dari sekolah jiran akan mengambil bahagian dalam pelayanan liturgi dimasa akan datang.
Guru Besar, Felecia Nyuk Lai merakamkan penghargaan kepada Fr Florian Marcus sebagai selebran Misa dan Sr Caroline Pius, fsic yang telah membantu dalam persiapan koir.
Sepintas lalu, sekolah ini ditubuhkan pada tahun 1963, guru besar pertama ialah Fr Crouder, seorang Mill Hill Missionaries. Uniknya SK St Edmund (M) ialah daripada 203 orang pelajarnya (data terkini) hanya 31 orang sahaja pelajar Katolik. Walaupun dalam kelompok minoriti namun aktiviti kerohanian seperti berdoa rosari (bersama guru dan pelajar) pada setiap hari Jumaat dari 11.45 pagi hingga 12.15 petang sedang berjalan dan akan diteruskan.
Kerjasama yang erat dan sokongan padu daripada ibubapa pelajar akan terus menjadi pemangkin semangat guru-guru Katolik SK St Edmund untuk menyediakan lebih banyak aktiviti kerohanian bagi pemantapan iman Katolik para pelajar sejajar dengan Misi dan Visi Komisi Pendidikan Keuskupan Agung.
Sebarang aktiviti kerohanian yang dirancang, akan dipastikan tidak melanggar garis panduan dan pekeliling ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia.