Para Jururawat sedang menghantar persembahan
Oleh Helena Salati
Jun 16 2023
TELUPID – Misa Kudus diadakan di paroki St Martin Telupid pada 14 Mei lalu sempena sambutan Hari Jururawat seluruh dunia yang jatuh pada 12 Mei 2023. Petugas liturgi pada Misa itu sebahagian besar adalah jururawat yang hadir pada hari itu.
Tema hari jururawat sedunia tahun ini adalah “Our Nurses Our Future”. Sambutan itu mendapat perhatian daripada Paderi Paroki, Fr Christopher Ireneus di mana dia memberi dorongan tentang kepentingan pekerjaan ataupun pelayanan para jururawat kepada masyarakat. Fr Christopher juga memberi penjelasan ringkas kepada umat yang hadir tentang permulaan sejarah perintis kejururawatan yang dikenali juga sebagai wanita dengan pelita iaitu “Florence Nightingale”.
Fr Christopher turut menyatakan dalam homilinya bahawa pekerjaan jururawat juga berkait rapat dengan pelayanan. Di mana Tuhan bekerja dalam kehidupan peribadi mereka ketika pekerjaan yang mereka lakukan tidak dapat dilakukan oleh manusia biasa tetapi dengan dorongan Roh Kudus, mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dan pelayanan mereka.
Paderi juga berkata bahawa semua perkara itu dapat dilihat apabila kita semua mengalami perkara yang sama dalam kehidupan kita. Ada kalanya kita tidak mengetahui pekerjaan Roh Kudus tersebut kerana kita kurang mengambil masa untuk merenung dan melihat hasil pekerjaan atau pelayanan kita sebenarnya disertai oleh Roh Kudus yang membimbing kita melakukan pekerjaannya. Kita menyedari bahawa Roh Kudus yang dijanjikan kepada kita sedang bekerja, telah bekerja dan akan sentiasa bekerja bersama dengan kita. Oleh itu, untuk menyedari kehadiran Roh Kudus kita sama-sama melihat di dalam aspek pekerjaan kita.
Akhir sekali, Fr Christopher menyimpulkan bahawa pelayanan kita adalah kerana kasih Tuhan yang bekerja di dalam setiap peribadi kita. – Dospo
Para Jururawat yang bertugas di bahagian koir