Oleh SOCCOM STKM
KOTA MARUDU – Lebih daripada 900 umat hadir merayakan Misa Kudus Kesyukuran Menggembala bersama Kristus sempena pemberkatan Pieta pada 15 Sept yang lalu di Gereja St Teresa, Kota Marudu. Kehadiran Fr Felix Chung dan Fr Thomas Madanan telah menyemarakkan lagi semangat sukacita dalam merayakan Misa Kudus pada pagi tersebut.
Seawal jam 7.00 pagi umat mulai berdatangan memenuhi ruang dalam Gereja malah ruang khemah di luar Gereja turut penuh hingga di tempat letak kereta.
Walaupun keadaan cuaca pada pagi itu tidak begitu mengizinkan namun, syukur kepada Tuhan kerana atur cara bagi perarakan paderi dari bangunan Gereja ke dewan paroki telah berjalan dengan lancar dan baik. Tambahan pula, keadaan cuaca pada hari itu tidak menghalang semangat umat untuk merayakan Misa Kudus dan menganggap bahawa hujan itu adalah berkat bagi majlis tersebut.
Dalam homilinya, Fr Thomas menyatakan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Tuhan atas campur tanganNya untuk panggilan menggembala dan berpeluang merayakan Misa Kudus bersama Fr Felix yang disambut dengan meriah oleh umat. Dia juga telah menceritakan sedikit sejarah awal pertumbuhan benih iman Kristiani di daerah itu yang bermula di Gereja St Andrew Rasak, sekitar tahun 60-an oleh Fr John Rooney.
Sesuai dengan bacaan Injil pada minggu itu, Fr Thomas memberi galakan dan motivasi kepada umat di paroki tersebut untuk tetap bersemangat melakukan kerja-kerja penginjilan dan pelayanan terutama kepada golongan yang belum mengenal Tuhan Yesus dalam hidup mereka.
Sebelum pemberkatan Pieta disempurnakan, terlebih dahulu Fr Thomas memberkati dan mengutus rombongan belia paroki yang akan mengikuti SYD-6 di Keningau. Selain itu, turut ditayangkan video pendek mengenai sejarah perkembangan iman katolik serta panggilannya menjadi seorang paderi.
Fr Thomas Madanan adalah anak jati Kota Marudu. Sehingga kini, dia merupakan paderi tunggal yang ditahbis berasal dari Paroki St Teresa. Justeru itu, dalam video pendek tersebut turut diselitkan kata-kata dorongan kepada kaum muda lelaki dan perempuan untuk menyahut panggilan Tuhan menjadi paderi dan religius kerana setelah 20 tahun masih belum ada penambahan paderi di paroki berbanding panggilan menjadi religius. Kini paroki telah melahirkan seorang FSIC sister iaitu Sr Maria Madgalena Hering Kiang Kopong dan tiga orang Sister Putri Karmel iaitu Sr Mary Sherly Appolinius, Sr Mary Sylvia Appolinius dan Sr Mary.
Selepas pemberkatan Pieta, paderi diiringi ke dewan paroki oleh para pelayan altar dan barisan katekis. Kedua paderi disambut oleh ahli Majlis Pastoral Paroki (MPP) St Theresa, Kota Marudu serta semua umat yang hadir. Mereka turut disambut dengan tarian tradisional yang dikenali sebagai tarian Pinakang daripada suku kaum Dusun Kimaragang dari Gereja St Mary Morion. Selepas ucapan terima kasih dan rasa syukur, paderi memotong kek sebagai tanda kesyukuran. Acara diteruskan dengan persembahan pentas dimulakan dengan tarian medley daripada Komiti Migran dan Perantau disusuli tarian moden oleh kanak-kanak dan remaja daripada Komuniti Couples For Christ (CFC) serta tarian tradisional oleh umat dari Gereja St Mary Morion.
Acara selesai sekitar jam 1.30 petang dimana kedua-dua paderi turut beredar daripada majlis itu. Fr Thomas memimpin doa penutup dan umat meneruskan dengan aktiviti gotong-royong menyusun dan membersihkan kawasan dalam dan luar dewan hingga selesai. Pieta yang di berkati dalam gereja St Theresa merupakan satu-satunya yang ada di Malaysia.