Fr Jalius Sading memercikan air suci untuk memberkati chapel yang baru diubahsuai
Oleh Alfred Tining, Soccom Kota Belud
Apr 12 2023
KOTA BELUD – Pasukan Polis Daerah Kota Belud yang beragama Kristian mengadakan Program Sehari dan telah memilih Chapel St Joseph Mantanau dalam Paroki St Edmund Kota Belud untuk sambutan Hari Polis yang ke-216 pada 26 Mac 2023. Mereka mengikuti Misa Kudus yang dirayakan oleh Fr Jalius Sading. Dalam Misa itu, Fr Jalius juga memberkati Chapel St Joseph yang baru siap diubahsuai dengan kosnya ditanggung penuh oleh kerajaan negeri melalui peruntukan Adun Pintasan.
Dalam homilinya, Fr Jalius menyeru para umat yang masih bekerja tidak kira apa kerja pun supaya dapat membahagikan masa untuk Tuhan dalam hidup seharian dengan mengikuti Misa, Ibadat atau apa sahaja kebaktian doa-doa lain.
“Kita memang perlu bekerja untuk menampung hidup seharian dan menyimpan duit untuk masa depan keluarga, tetapi jangan lupa untuk makanan tubuh rohani kita. Apa gunanya tubuh badan kita sihat kalau tubuh rohani kita sakit. Di dunia ini kita hidup dan diakhiri dengan kematian. Diakhir zaman kita akan dibangkitkan dan menerima kehidupan kekal. Jangan kita meremehkan perkara ini kerana semua ini adalah harapan kita kepada Yesus. Kita bebas untuk memilih sama ada percaya atau tidak itu terpulanglah kepada kita,” tegasnya.
Dalam sesi ucapan, pengerusi chapel St Joseph Mantanau, Dolusim Gilong mengucapkan terima kasih kepada Fr Jalius kerana merayakan Misa dan memberkati chapel yang baru selesai diubahsuai. Beliau juga berterima kasih kepada beberapa anggota PDRM Kota Belud yang memilih chapel ini untuk mengadakan aktiviti sempena sambutan Hari Polis. Wakil daripada PDRM, mengucapkan terima kasih kepada Fr Jalius dan semua umat St Joseph kerana sudi menerima kehadiran mereka lebih-lebih dalam perayaan Misa Kudus pada itu.
“Setiap tahun pihak kami mengadakan program seperti ini sempena sambutan Hari Polis kecuali dua tahun sebelum ini akibat pandemik dan gereja-gereja yang kami pilih bukan sahaja gereja Katolik tetapi juga SIB dan SDA. Tujuannya untuk mengeratkan hubungan baik dengan masyarakat agar dapat membantu pihak PDRM untuk membenteras jenayah,” kata wakil PDRM itu.
Fr Jalius berasa gembira atas kehadiran beberapa angota PDRM bersama keluarga mereka ke chapel ini. Beliau mengajak para anggota PDRM yang beragama Katolik untuk ambil sedikit masa untuk Tuhan dalam tugas mereka. Fr Jalius berharap agar semua umat bertanggungjawab untuk memelihara atau menjaga chapel yang baru diubahsuai itu dengan baik bukan sahaja bangunan tetapi juga iman umat-umat di situ agar lebih berkembang.
Selesai Misa, pihak PDRM mempersembahkan dua buah lagu rohani dan salah satunya yang bertajuk “Hidup ini adalah kesempatan” diikuti dengan sesi bergambar, penyampaian cenderahati dari pihak PDRM kepada Fr Jalius dan pengerusi KPUK Chapel dan acara makan bersama.
Pasukan Polis mempersembahkan lagu rohani selepas Misa Kudus