Uskup Cornelius Piong memberkati semula Salib Yesus semasa Misa Koponogitan di Katedral St Francis Xavier Keningau pada 14 Julai 2022
Oleh Juanis Marcus
July 16 2022
KENINGAU – Pada 7 Julai yang lalu, Katedral St Francis Xavier, Keningau telah dikejutkan apabila diceroboh dan beberapa patung dan Salib Yesus telah dirosakkan. Walaupun si pelaku telah diberkas oleh pihak berkuasa, namun masih ada segelintir masyarakat terus mengecam dan membuat spekulasi.
Syukur melalui Sidang Media yang diadakan pada 8 Julai dan Misa Koponogitan yang diadakan pada 14 Julai di Katedral yang sama, sedikit sebanyak membawa titik mula bagi gereja khususnya Paroki Keningau, membawa umat agar lebih bersikap mengampuni dan ambil peduli.
Semasa homili dalam Misa tersebut, Bapa Uskup Cornelius Piong berkata, “Seperti budaya kita, kita menghantar sogit apabila kita melakukan kesalahan dengan tujuan agar keharmonian itu dapat diwujudkan semula, begitu juga dalam Misa Koponogitan ini, kita ingin berdamai semula dengan Tuhan, berdamai semula dengan sesama.”
Dalam Misa tersebut juga, Uskup memberkati semula patung Hati Kudus Yesus, Bonda Maria dan Salib Yesus. Tujuannya adalah untuk menguduskannya semula sebab ia telah tercemar kerana dirosakkan secara sengaja.
Uskup Cornelius juga berkata bahawa patung dan salib tersebut yang berusia lebih kurang 46 tahun akan diperbaiki semula dan tiada rancangan untuk membeli yang baru agar gereja dan umat dapat memperingati hari tersebut.
“Ambillah peristiwa ini sebagai satu jemputan Tuhan untuk kita bersikap mengampuni dan ambil peduli. Umat janganlah mengecam pelaku dan keluarga pelaku kerana Tuhan tidak pernah berbuat demikian.
“Namun marilah kita doakan si pelaku dan keluarganya, agar dapat menerima perkara ini dan semoga damai berserta dengan mereka,” tutup prelatus di dalam homilinya.
Keseriusan gereja untuk bersikap mengampuni dan ambil peduli dalam Misa tersebut ditegaskan lagi melalui Doa Umat yang mendoakan pelaku dan keluarganya, selain fellowship sederhana bersama mereka dan umat.