Para baptisan baru
By Richard Angkis
April 25 2022
KOTA KINABALU – Seramai 35 katekumen telah menerima Sakramen-sakramen Inisiasi iaitu Sakramen Baptis, Penguatan dan Komuni Kudus Pertama dalam Misa Kudus pagi Minggu Paska pada 17 April 2022 yang disempurnakan oleh Uskup Agung John Wong di bantu oleh Fr Rusell Lawrine di Katedral Hati Kudus. Dalam upacara yang sama, dua orang calon dari Gereja Anglikan telah diterima masuk ke dalam persekutuan penuh dengan Gereja Katolik.
Kesemua mereka ini telah menjalani proses IKD dalam BM sejak awal tahun 2021 yang amat mencabar dengan menghadapi pelbagai rintangan terutama dalam masa PKP yang memaksa proses persiapan mereka dijalankan secara atas talian selama lebih kurang satu tahun.
Upacara penerimaan katekumen telah diadakan pada bulan Nov 2021 dimana hanya yang terpilih sahaja diminta hadir secara fisikal berdasarkan SOP standard C19. Sebahagian besar mereka mengikuti upacara tersebut melaui Zoom sahaja.
Namun, pujI dan syukur kepada Tuhan, atas berkat kasihNya akhirnya mereka telah sampai ke kemuncak proses IKD pada pagi Minggu Paska. Mereka telah didaftarkan sebagai Para Pilihan pada Minggu Prapaska pertama, 6 Mac 2022 yang disempurnakan oleh Uskup Agung John Wong dalam Upacara Pemilihan yang melibatkan katekumen dari SHC, CMI dan St Paul, Dontozidon. Selepas itu mereka telah melalui Upacara Tobat 1 dan penyerahan Syahadat Para Rasul pada petang hari Rabu, 23 Mac 2022, Upacara Tobat 2 pada petang hari Rabu, 30 Mac 2022, Upacara Tobat 3 dan Penyerahan Doa Bapa Kami pada petang Rabu, 6 April 2022.
Kesemua upacara Tobat telah disempurnakan oleh Fr Sunny Chung. Upacara akhir persiapan Inisiasi diadakan pada pagi Sabtu Suci, 16 April 2022 secara gabungan tiga bahasa itu BM, English dan Mandrin yang disempurnakan oleh Fr Paul Lo, Paderi Paroki dibantu oleh Fr Sunny Chung dan Fr Saimon William.
Sebelum berkat akhir Misa Paska pada hari Inisiasi, Uskup Agung John Wong berpesan kepada para baptisan baru agar tidak terus balik rumah, sekurang-kurangnya pergilah berjumpa dengan pembimbing kamu tapi jangan katakana “bye-bye”. Katakan “jumpa lagi” untuk teruskan masa pendalaman iman dan sertailah pelayanan atau komuniti gereja yang dapat membantu pembentukan iman kamu seterusnya.