Peserta seminar panggilan misionari di Purak Papar bersama Fr Herman Menjuan MHM (berbaju putih hadapan)
By Fr Herman Menjuan MHM
March 16 2022
PURAK, Papar – Untuk pertama kalinya, Mill Hill Missionary mengadakan seminar panggilan di Sabah untuk mengenali panggilan sebagai seorang misionari pada 18-20 Feb di Pusat Retret Pace Bene di Purak, Papar.
Walaupun keadaan yang sangat tidak baik kerana pendemik dan penambahan kes yang mendadak, tidak menghalang untuk 11 orang anak muda datang menyertai seminar panggilan ini. Anak-anak muda ini adalah pelajar tahun tiga dan tahun akhir di Universiti tempatan.
Fr Herman Menjuan MHM telah mengendalikan seminar ini dan dibantu oleh Seminarian Christiano Sumbat.
Beberapa aktiviti telah dijalankan pada hari tersebut iaitu sesi pengenalan kepada Mill Hill Missionary dan perkongsian, menonton video kisah hidup seorang misionari dan tentang panggilan hidup. Seminarian Christiano telah berkongsi perjalanannya sebagai seorang misionari yang telah dihantar ke Kenya untuk pelayanan pastoral.
Fr Philip Odiambo, wakil komuniti Mill Hill Missionary Malaysia, yang sepatutnya memberikan perkongsian tentang “Come and see” tidak dapat menyertai seminar ini atas sebab kenaikan kes pandemik. Walaubagaimanapun sesinya telah dikendalikan oleh Fr Herman sendiri. Walaupun Fr Philip yang sekarang melayan di Sibu sebagai Direktor Panggilan tidak dapat menyertai, dia tetap memberikan sokongan penuhnya dalam seminar ini.
Di dalam pengenalan tentang siapakah Mill Mill Missonary, Fr Herman telah memberikan sedikit sejarah kedatangan Mill Hill ke Sabah pada tahun 1881. Dia juga berkata bahawa sebagai seorang misionari, mereka akan melayani di luar daripada negara sendiri dan di tempat yang memerlukan mereka.
Majoriti peserta muda seminar masih belum mengenali Mill Hill Missionary, mereka berterima kasih kerana dalam seminar ini, mereka telah mengenali Mill Hill Missionary yang telah membangunkan iman Kristian di Sabah dan seterusnya meneruskan pelayanan di mana sahaja. Ada di antara mereka sangat teruja dan merasa tercabar dengan pengalaman yang telah mereka dengar dan yang ditonton melalui video.
Di dalam seminar ini mereka juga telah sedikit sebanyak melihat cara hidup seorang Missionary, yang menjurus lebih kepada kesederhanaan dan lebih mementingkan pelayanan iman. Di sini juga mereka telah didedahkan dengan kehidupan dalam pelayanan.
Semua peserta seminar layak untuk memasuki Mill Mill Missonary tetapi mereka dinasihatkan agar menghabiskan dahulu pengajian tinggi mereka di Universiti tempatan di mana Fr Philip Odiambo selaku Direktor Panggilan akan menjangkau mereka selepas itu.
Pada penghujung seminar, para peserta telah melawat novis Kongregasi Franciscan Sisters of the Immaculate Conception (FSIC) yang juga terletak di Purak. FSIC di Sabah telah dibentuk oleh Msgr August Wachter MHM seorang Mill Hill Missionary pada tahun 1936.