Oleh FS – SOCCOM HRL
LIMBAHAU, Papar – Kursus Intensif Pembaptisan (KIP), yang dianjurkan secara bersama oleh Komiti Katekis Paroki Holy Rosary Limbahau dan Paroki St Joseph Papar, telah berlangsung dengan jayanya di Gereja Holy Rosary, Limbahau, pada 21-24 Okt 2024. Program ini disertai oleh 19 peserta dewasa yang datang dari pelbagai daerah di Sabah.
Inisiatif KIP ini diilhamkan oleh Msgr Nicholas Stephen sebagai usaha untuk menyediakan peluang kepada mereka yang telah lama menyimpan hasrat untuk dibaptis dalam Gereja Katolik tetapi menghadapi kekangan masa untuk menghadiri kelas Inisiasi Katolik Dewasa (IKD) disebabkan oleh komitmen pekerjaan dan tanggungjawab lain.
Menurut Pengerusi Penganjur, Katekis Marcel Simok, kursus itu direka khas untuk memberikan pemahaman mendalam tentang makna, tujuan, dan amalan pembaptisan dalam tradisi kepercayaan Kristian. Sepanjang tempoh empat hari tersebut, para peserta didedahkan kepada ajaran Kitab Suci, makna dan kepentingan sakramen-sakramen dalam Gereja Katolik, serta implikasi kehidupan selepas pembaptisan. Sesi katekesis disampaikan oleh Msgr Nicholas Stephen, Sr Liza Anggie FSIC, Sr Jadine D Gutierrez FSIC, Fr Joshua Liew, Fr Lasius Gantis, serta beberapa katekis yang berpengalaman.
Pada 24 Okt 2024, para peserta secara rasmi menjadi sebahagian keluarga gereja Katolik setelah menerima Sakramen Pembaptisan dan Komuni Suci Pertama dalam Misa Kudus khas. Mereka yang dibaptis menyatakan rasa syukur yang mendalam atas peluang ini, menyifatkan kursus sebagai pengalaman rohani yang memperbaharui keimanan dan semangat mereka.
Carl Vincent Morison dari Papar amat bersyukur atas penganjuran kursus ini kerana sudah lama beliau merindukan pembaptisan dalam Gereja Katolik. Sebelum ini, beliau telah beberapa kali mengikuti kelas IKD namun tidak dapat menyelesaikannya kerana komitmen kerja di Sarawak. Jescemela Mer Jamaing, yang datang dari Kudat untuk mengikuti kursus ini, turut meluahkan rasa syukur kepada Tuhan dan terima kasih kepada pihak paroki atas usaha penganjuran kursus. Beliau menjelaskan bahawa panggilan Tuhan untuk dibaptis telah lama dirasainya, tetapi komitmen kerja sering menjadi halangan untuk mengikuti kelas IKD.
Para peserta kursus berasa amat terharu dan gembira atas peluang serta pembaptisan yang telah mereka terima. Mereka berharap agar kursus seperti ini dapat dijadikan program tetap dalam kalendar Gereja Katolik di seluruh Keuskupan Agung Kota Kinabalu, kerana masih ramai yang menghadapi kekangan yang sama.
Kejayaan program itu turut disokong oleh pelbagai komuniti gereja seperti Majlis Pastoral Paroki, Komiti Warden, serta para sukarelawan yang turut menyumbang dalam menjayakan kursus ini. Selain sesi pembelajaran intensif, terdapat juga sesi kerohanian yang membantu para peserta dalam persiapan mereka menerima sakramen pembaptisan.