Oleh ES
KOTA KINABALU – “Selepas hari ini, kami para graduan akan menulis lembaran baharu dalam hidup kami. Rasanya seperti baru semalam kami memulakan tahun pertama di sekolah rendah dengan penuh rasa ingin tahu. Kini, tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada sekolah rendah tercinta,” ucap Evana Soo Yun Pei, Ketua Pengawas SRS Datuk Simon Fung semasa Majlis Hari Anugerah dan Graduasi ke-37.
Bertemakan “Time to Shine” (Masa untuk bersinar), majlis itu telah berlangsung di Dewan Katedral Hati Kudus pada 16 Jan 2025 dengan kehadiran para pelajar, guru-guru, ibu bapa serta tetamu kehormat.
Evana mengajak rakan-rakan seperjuangan untuk meraikan semua hasil kerja keras, kejayaan dan pelajaran yang diperoleh sepanjang perjalanan.
“Kita mungkin akan berpisah selepas hari ini,” kata Evana, “biarlah ini bukan pengakhiran yang menyedihkan sebaliknya permulaan baru untuk masa depan yang cerah.
“Mari maju dengan keberanian dan keazaman, dengan kepala tegak dan semangat yang melambung tinggi. Pelajaran yang kita pelajari di sekolah rendah kita jadikan kompas untuk membimbing melalui cabaran yang menanti,” tambahnya.
Evana berharap mereka akan mengingati persahabatan yang telah dibina dan ilmu yang mereka perolehi.
Sr Carmen Cordova, Guru Besar, mengucapkan tahniah kepada pelajar Tahun Enam atas kerja keras, ketabahan dan pertumbuhan mereka dalam tempoh enam tahun lalu.
Sr Carmen turut menasihatkan para graduan untuk terus berusaha ke arah kecemerlangan, bersikap baik kepada orang lain dan kekal ingin tahu tentang dunia kerana, “setiap saat boleh menjadi pengalaman pembelajaran yang akan menjadi asas kejayaan masa depan anda.”
Dia juga turut berterima kasih kepada guru-guru atas usaha dalam menjayakan majlis tersebut dan juga kepada ibu bapa kerana memainkan peranan dalam memberi galakan serta sokongan kepada kejayaan anak-anak.
Mewakili Uskup Agung John Wong, Winnie Voo Nyuk Yung memberikan tiga prinsip utama untuk para graduan bawa ke fasa pendidikan yang seterusnya iaitu percaya pada diri sendiri, “percaya akan kebolehan dan ketahui bahawa kamu mampu mencapai kejayaan.”
“Menyahut cabaran,” kata Winnie, “kehidupan tidak sentiasa mudah, tetapi setiap cabaran adalah peluang untuk menjadi lebih kuat dan bijak serta berpegang teguh kepada nilai diri, dengan sentiasa berusaha untuk bersikap baik, jujur dan hormat.
“Kualiti ini akan membimbing kamu melalui sebarang situasi yang akan kamu hadapi dalam hidup,” pesan Winnie kepada para graduan.
Dalam kesempatan itu, dia turut mengungkapkan rasa syukurnya kepada ibu bapa pelajar atas sokongan yang tidak berbelah bagi dan berterima kasih atas kerjasama dalam memupuk dan membimbing mereka ke arah kejayaan.
Majlis diteruskan dengan persembahan tarian daripada pelajar Tahun Empat, Lima dan Enam serta penyampaian anugerah Pelajar Cemerlang.