
Oleh JRD Surian Sebastian (KOMSOS SYPS)
SIPITANG – Ketika umat Kristian Katolik masih segar meraikan kegembiraan Paska yang memasuki minggu ketiga, umat di Gereja Katolik Santo Yohanes Pembaptis Sipitang pula dengan satu semangat komuniti telah bersama-sama ahli komuniti Kristian Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sipitang bagi sesi doa dan peringatan Hari Polis ke-217 semasa upacara Misa Kudus hari Ahad, jam 8.30 pagi pada 14 April 2024 dengan Fr Lazarous Uhin selaku selebrannya.
Bertemakan “Polis dan Masyarakat, Berpisah Tiada”, Gereja Katolik St Yohanes Sipitang telah dipilih pada tahun ini oleh pihak PDRM sebagai tempat pelaksanaan program tahunan tersebut selepas Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Pekan Sipitang dipilih pada tahun lalu sebagai usaha mendekatkan PDRM dengan ahli komuniti setempat di Sipitang.
Dalam homili yang bertemakan “Menjadi Saksi Kristus Yang Bangkit”, Fr Lazarous Uhin menegaskan bahawa pada hari ini ramai manusia ingin melarikan diri dalam segala masalah tekanan hidup dengan cara yang singkat misalnya penyalahgunaan dadah atau sebagainya. Tambahnya lagi, “Namun apa yang berlaku secara realitinya ialah sebahagian ahli komuniti dalam kalangan kita lebih senang mengambil sikap tidak peduli atau berdiam diri sahaja terhadap perkara itu walaupun kita sebagai umat yang mengimani dan mengakui Yesus Kristus selaku juruselamat sedar bahawa kita mempunyai misi dan peranan menjadi saksi harapan sekaligus memadamkan keraguan buat mereka yang mencari arah”. Menyedari akan cabaran hidup dalam masyarakat pada hari ini terlalu besar maka sekiranya gagal diatasi bersama dalam semangat komuniti, pastinya ini akan memberi tekanan dan bebanan kepada seluruh ahli masyarakat apatah lagi kepada anggota polis dalam menjalankan tugas.
Fr Lazarous seterusnya mengingatkan seperti mana para rasul yang diutus Kristus, beliau menyeru para umat yang juga diutus melakukan pewartaan khabar gembira agar lebih mengusahakan pertobatan dan perdamaian melalui keluarga masing-masing mahupun secara Komuniti Kristian Dasar (KKD) sekaligus memberi pengharapan kepada yang masih jauh kepada Tuhan. “Pastinya ini bukan suatu hal yang mudah namun sentiasalah dalam doa memohon berkat dan kekuatan dari Tuhan”, katanya.
Dalam Misa Kudus tersebut seramai 18 ahli Komuniti Kristian PDRM dari pelbagai denominasi, bersama keluarga mereka hadir termasuklah Ketua Polis Daerah Sipitang iaitu Tuan DSP Mail Sundongi. Di akhir misa tersebut, para anggota polis diberikan doa pemberkatan khas oleh Fr Lazarous.
Sejurus tamat Misa Kudus, para umat dan anggota PDRM telah bersama-sama dalam satu acara jamuan kesyukuran yang diadakan di Dewan Gereja Pope John Paul II. Dalam acara di dewan, Pengerusi Majlis Pastoral Paroki (MPP) Encik Birly Johnny telah mengambil peluang mewakili pihak umat menyampaikan ucapan penghargaan dan rasa syukur atas kehadiran pihak PDRM yang memilih bersama-sama dengan umat Katolik di Gereja Santo Yohanes Pembaptis menjalankan ibadah doa dan sambutan peringatan Hari Polis pada tahun ini. Beliau percaya menerusi pendekatan seperti ini pastinya akan memberi keyakinan dan perhubungan yang baik oleh masyarakat awam bersama PDRM. Manakala bagi Fr Lazarous Uhin selaku Paderi Paroki St Yohanes Pembaptis, dalam ucapannya berterima kasih atas usaha keras pihak PDRM yang telah menjaga kesejahteraan masyarakat dan secara peribadi mendoakan mereka untuk melakukan yang terbaik. Beliau berpesan agar sentiasa memberikan ruang kepada Tuhan dalam diri masing-masing meskipun dalam kesibukan tugas.
Sementara itu, DSP Mail Sudongi, Ketua Polis Daerah Sipitang menyatakan rasa gembira dan syukur kerana dapat bersama-sama dengan umat Katolik di St Yohanes Pembaptis. “Buat pengetahuan semua, ini merupakan program keagamaan tahunan yang wajib dilakukan oleh PDRM dan untuk tahun ini kami berada di sini bersama anda”. Tambahnya lagi “Sebagai mewakili pihak PDRM, saya berterima kasih kepada pihak gereja kerana sudi menerima program kami ini dan semoga ini menjadi landasan kepada perhubungan baik antara PDRM dan komuniti setempat selari dengan tema sambutan iaitu “Polis dan Masyarakat, Berpisah Tiada“. “Saya mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama daripada pihak komuniti gereja dari semasa ke semasa selain daripada sambutan ini”. Kata DSP Mail. Beliau juga dalam ucapannya turut mengambil peluang melakukan sesi suai kenal para anggota yang bersama beliau pada hari tersebut kepada para umat di dewan.
Setelah ucapan, turut diadakan penyampaian sumbangan kasih oleh DSP Mail Sudongi kepada Pengerusi MPP En Birly Johnny serta kepada Fr Lazarous yang kemudiannya disusuli dengan sesi pemotongan kek beramai-ramai. Pengisian acara kemudian dilanjutkan dengan jamuan makan tengah hari dan acara santai hiburan karaoke melibatkan anggota PDRM dan umat gereja.