Upacara Pembaptisan kepada salah satu kanak-kanak
Oleh Alfred Tining (SOCCOM KB)
Sep 2 2022
KOTA BELUD – Bersempena dengan Pesta Penaung Chapel St Alphonsus Ulu Kukut (stasiluar Paroki Kota Belud), pada 13 Ogos 2022, seramai 24 umat dibaptis iaitu 12 dewasa dan 12 kanak-kanak. Mereka yang dewasa ini telah dibimbing oleh Kat William Musda dan telah dipersiapkan dengan tiga sesi perkongsian atau katekisis iaitu sesi pertama mengenai dengan sakramen pembaptisan dan pemberian nama telah disampaikan oleh Kat Saimon Maringking, sesi kedua menerangkan tentang peranan Ibu-Bapa dan penanggung disampaikan oleh Kat Johanes Atam manakala sesi ketiga bertajuk “Peranan selepas dibaptis” juga telah disampaikan oleh Kat William Musda.
Liturgi dan upacara pembaptisan disempurnakan oleh Fr Florian Dompok. Di susuli dengan perayaan Misa Kudus senja sempena dengan Pesta Penaung Chapel St Alphonsus.
Dalam homilinya, Fr Florian mengajak umat yang hadir merenung dan meneladani iman dan kisah hidup santo ini yang menjaga chapel ini, kerana pada hari ini kita telah menerima 24 orang saudara baru kita yang telah menerima sakramen baptis.
“Dalam sakramen ini sememangnya dosa asal telah terhapus namun kita tetap berdosa lagi melalui tingkahlaku kita setiap hari kerana kelemahan kita. Dan dosa ini akan terhapus diampuni apabila kita menerima sakramen pengakuan, bersatu dengan Yesus melalui sakramen ekaristi, itulah sebab sangat penting bagi kita untuk mengikuti Misa Kudus apabila ada kesempatan dan dimana saja kita berada,” jelas Fr Florian.
Dalam ucapan singkat oleh Ka. Johanes Atam (mewakili pengerusi chapel) bersyukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada Fr Florian yang meluangkan masa dalam upacara pembaptisan dan memimpin Misa Kudus sempena hari penaung chapel ini. Beliau berterima kasih juga kepada semua yang telah terlibat sepanjang upacara ini. Selepas Misa, acara pemotongan kek dan makan bersama diadakan.