Kakitangan Katedral St Francis Xavier mengadakan Program Ziarah Sto Joseph di Nulu Sosopon pada 27 Ogos lalu
Oleh Juanis bin Marcus
Sep 13 2021
NULU SOSOPON, Keningau – Selepas Bapa Suci Fransiskus mengumumkan bahawa 8 Dis 2020 – 8 Dis 2021 merupakan Tahun Sto Joseph, seramai 24 orang kakitangan Katedral St Francis Xavier Keningau (KSFX) telah melakukan inisiatif melakukan Program Ziarah Sto Joseph secara berkumpulan pada 27 Ogos lalu.
Kali ini mereka telah memilih satu tempat yang tidak asing lagi bagi penziarah yang ingin mengenal Sto Joseph, iaitu Pusat Ziarah Keluarga Kudus Keuskupan Keningau, Nulu Sosopon.
Pusat Ziarah Keuskupan ini terletak di bukit Nulu Sosopan, di barisan jalan Keningau-Kimanis, lebih kurang 10 minit perjalanan dari KSFX dengan menaiki kenderaan.
Kakitangan KSFX memulakan ziarah dengan mendengar taklimat singkat mengenai sejarah dan aturan perjalanan Ziarah Sto Joseph dari Patrick Marius, Tim Ziarah di Pusat Ziarah Keuskupan tersebut. Patrick berkata Ziarah Sto Joseph telah dibuka sejak 20 April tahun ini demi menyahut seruan Bapa Uskup Cornelius Piong.
Selesai taklimat, para penziarah dibawa ke Dewan Tertutup Sto Joseph di mana terletaknya pameran mengenai kehidupan Sto Joseph. Di luar dewan, para penziarah akan dapat melihat patung Bonda Maria yang berketinggian lebih 15 kaki dan Menara Salib Keuskupan Keningau yang tersergam indah.
Memasuki muka pintu Dewan Tertutup ini, para penziarah akan dapat melihat sebuah gerbang yang bertulis “Menelusuri Kehidupan Sto Joseph” bertemankan imej Bapa Uskup Cornelius Piong di sebelah gerbang ini yang seolah-olah sedang menanti kedatangan para penziarah.
Potongan imej saiz sebenar Bapa Uskup Cornelius Piong di Pusat Ziarah
Di depan gerbang pula adalah sebuah kolam kecil dengan ukiran sekumpulan patung sang bangau seperti sedang mencari mangsanya, iaitu ikan hidup sebenar yang pasti mencuri tumpuan penziarah seketika.
Namun apa yang terpenting di dalam Dewan tersebut adalah paparan mengenai kisah kehidupan Sto Joseph. Di sini penziarah akan dapat mengetahui Tujuh Peristiwa Dukacita Sto Joseph, seperti Derita melihat Yesus disunat, Yesus lahir ditempat yang hina, Pulang dari Mesir namun tidak sampai ke Nazareth, Maria mengandung sebelum mereka bergelar suami isteri, Kehilangan Yesus selama tiga hari, Hati Sedih apabila mendengar ramalan tentang Yesus dan harus membawa Maria dan Yesus pergi dari Mesir.
Selain itu, ada dipamerkan juga Tujuh Peristiwa Sukacita Sto Joseph dan tujuh isi penting dari Surat Apostolik Bapa Suci Francis ‘Patris Corde’. Lebih memukau lagi apabila setiap isi-isi penting ini dilustrasikan dengan gambar, model dan patung mini.
Tidak cukup dengan pengetahuan dan pengalaman rohani di Dewan Tertutup, ziarah pada hari tersebut diteruskan melalui tayangan video mengenai Sto Joseph. Melaluinya, kita akan dapat belajar bagaimana Sto Joseph lebih banyak melakukan tindakan berbanding kata-kata, sebab itu Sto Joseph juga sering dilabelkan sebagai Santo Tanpa Suara.
Misa kudus menjadi penutup ziarah pada hari tersebut yang dipimpin oleh Fr Bonaventure Unting, selaku paderi pembimbing kakitangan Katedral KSFX.
Mana-mana komuniti di luar atau di dalam Keuskupan Keningau yang ingin melakukan ziarah di Pusat Ziarah Keluarga Kudus Keuskupan Keningau, Nulu Sosopon, boleh menghubungi Puan Mathilda Nain (013-870 8773) atau Patrick Marius (016-561 0167) untuk maklumat lanjut.