Penutupan Ziarah Statue Bonda Maria
Oleh Aloy (KOMSOS GBMPAK)
Nov 30 2023
KEMABONG, Tenom – Sukacita dan damai kasih Bonda Maria, menyelubungi Mission Kemabong apabila patung Bonda Maria Penolong Abadi selesai berziarah kesemua KUK di bawah naungan Mission Kemabong selama 17 hari bermula pada 2 Okt sehingga 18 Okt 2023.
Pelancaran ziarah ini telah disempurnakan oleh Fr Ronny Alfred Luni dalam Misa Kudus yang diadakan di Gereja Bonda Maria Penolong Abadi, dihadiri lebih 100 umat sekitar Mission.
Bertemakan “Maria Bangkit dan Bergegas Pergi” itu bertujuan untuk membawa umat menuju Yesus melalui perantaraan Bonda Maria, serta mengenali keperibadian Bonda Maria dan meneladani karakternya sebagai murid Kristus di samping mengetahui lebih dalam peranan Bonda Maria bagi gereja Katolik.
Perjalanan Ziarah ’Statue’ itu melewati 15 buah gereja yang bernaung di bawah Mission, memberi impak yang bermakna terutamanya kepada tim yang mengendalikan perjalanan Ziarah tersebut dan juga kepada setiap umat yang turut serta menyambut dan menemani Bonda Maria dalam setiap perhentian ziarah tersebut.
Banyak pengalaman pahit dan manis yang dilalui termasuk cabaran cuaca, kenderaan, jalan licin dan sebagainya. Namun, ia tidak mematahkan semangat tim untuk meneruskan pelayanan Ziarah itu. Malahan, cabaran itu menjadi sumber inspirasi untuk kami bersatu dan lebih menghayati keperibadian serta mengalami sendiri kerendahan hati yang dimiliki oleh Bonda Maria. Demikian antara perkongsian yang diterima daripada team yang menyertai ziarah ini.
Dalam Misa penutupan ziarah, Fr Ronny yang juga merupakan Paderi Paroki St Anthony, berkata kebersamaan umat sepanjang Ziarah adalah sangat baik. Manakala penyertaan belia juga luar biasa kerana setia menemani Bonda Maria dari awal hingga akhir perjalanan ziarah. Sesungguhnya, penuai di Mission Kemabong sudah tersedia kata paderi yang berasal dari Tambunan itu.
Pengerusi penganjur ziarah, Katekis Claudia, turut mengungkapkan perasaan terharu atas semangat kesatuan dan sikap saling melengkapi antara semua tim. Sesungguhnya, segala cabaran dan kesulitan yang wujud sepanjang Ziarah itu merupakan cara Tuhan untuk melihat sejauh mana iman, kepercayaan dan ketaatan kita kepada Tuhan. Melalui ziarah itu juga, tanpa kita sedar, kita sebenarnya sedang diproses dan dibentuk untuk meneladani Bonda Maria, Bonda Tuhan kita, menyelami sendiri kesempurnaan, kerendahan hati dan kemurnian jiwa yang dimiliki oleh Bonda Maria, kata beliau mengakhiri ucapan.