Komuni Suci Pertama, Kumpulan Pertama dari Gereja St Paul Dontozidon bergambar bersama Fr Rusell Lawrine
Oleh Nelson Fernandez
Nov 19 2021
DONTOZIDON – Gereja St Paul Dontozidon menampilkan seramai 40 calon Komuni Suci Pertama dalam dua Misa Kudus iaitu pada 15 dan 16 Nov 2021. Para penerima Komuni Suci ini dibahagikan kepada dua kumpulan di mana kumpulan pertama seramai 24 calon dilaksanakan di Gereja St Paul Dontozidon dalam Misa Kudus yang dipimpin oleh Fr Rusell Lawrine.
Upacara ini dimulakan dengan Sakramen Pengakuan bagi calon-calon sebelum Misa bermula jam 7.00 pada malam itu.
Jelas kelihatan di wajah setiap para calon yang bersemangat untuk menerima Tubuh dan Darah Kristus pada kali pertamanya itu, ditambah kemeriahannya dengan kehadiran ibubapa mereka dan para pembimbing.
Fr Rusell dalam homilinya, menasihatkan para calon agar melakukan pengakuan sekurang-kurangnya tiga kali dalam setahun dan rajin datang ke gereja. Beliau memberikan keyakinan kepada mereka bahawa Yesus selalu menyertai anak-anak semua kerana melalui Tubuh Kristus yang kamu terima, kamu juga akan mendapat kekuatan melalui iman.
Fr Rusell juga mengingatkan ibubapa supaya memberi dorongan dan bimbingan kepada anak-anak mereka agar mereka mengenali Yesus dengan lebih dekat lagi.
Pada keesokan harinya, Misa Kudus bagi kumpulan kedua iaitu calon-calon daripada Gereja Our Lady Queen of Peace (OLQP), Kobusak dan St John The Baptist, Kopungit seramai 16 orang. Upacara ini dilangsungkan di Gereja QLQP oleh Fr Sunny Chung dan seperti juga pada kumpulan pertama, kumpulan kedua itu menjalani Sakramen Pengakuan sebelum Misa bermula jam 7.00 malam.
Penerima Komuni Suci Pertama, Kumpulan Kedua dari Gereja Our Lady Queen of Peace, Kobusak dan St John The Baptist Kopungit bergambar bersama Fr Sunny Chung
Dalam homili Fr Sunny, beliau memberi ungkapan kepada para calon bahawa Tubuh Kristus itu adalah sangat kudus kerana dia adalah Tubuh dan Darah Yesus sendiri.
“Apa yang kita imani itu adalah Tubuh dan Darah Kristus sendiri dan bagi kita orang Katolik, kita percaya dan mengimani Tubuh Kristus tersebut walaupun ianya berbentuk roti biasa tetapi bila kita imani Dia terutama semasa “konsekrasi”, bahawa Yesus hadir pada masa tersebut dan kita pecaya melalui iman kita, Dia tinggal didalam diri kita,” kata Fr Sunny.
Paderi itu merungkaikan bagaimana terjadinya banyak keajaiban berlaku di dunia ini yang mana roti bertukar menjadi daging dan darah yang sebenar.
“Ini terjadi kerana apabila kita percaya dan mengimani Kristus, Dia akan tinggal didalam diri kita, dan diri kita didalam diriNya. Sama seperti Zakheus, pemungut cukai dalam pembacaan Injil, dia ingin sekali melihat Yesus siapa dia sebenarnya. Akhirnya dia dapat melihat Yesus di depan matanya dan mengajak Yesus tinggal dalam rumahnya.
“Keinginan beginilah yang sepatutnya kita mahukan, sama seperti para penerima Komuni Suci pertama ini, hendaklah kamu melihat Yesus, membuka hati kamu untuk Yesus, membenarkan Yesus hadir dalam kehidupan kamu. Keinginan dan menerima Yesus terutamanya menerima Tubuh Kristus, membolehkan Yesus tinggal didalam diri kita,” jelas Fr Sunny sambil menambah, setiap kali kita selesai menghadiri Misa, bawalah Yesus bersama dalam diri kita, kemana jua kita pergi ke rumah, sekolah, tempat kerja dan di mana saja, kerana Yesus ingin tinggal dalam diri kita yang lebih baik dan sempurna”.
Di akhiri Misa pada hari kedua, diadakan sesi bergambar kepada kesemua penerima Komuni Suci Pertama bertempat di Dewan Gereja St Paul Dontozidon serta diadakan jamuan makan malam dalam bentuk ‘tapau’.