Oleh Veron
BUNSIT, Keningau – Seramai 28 pasangan telah memperbaharui janji perkahwinan di St James the Apostle pada 17 Nov 2024. Pembaharuan janji perkahwinan kali ini mensasarkan pasangan yang telah berkahwin serta diberkati di Gereja dan sudah mencapai usia perkahwinan selama lima tahun dan ke atas.
Bermula dari 12-14 Nov 2024, semua pasangan mengikuti tiga hari persiapan sebelum upacara pembaharuan janji perkahwinan. Selepas itu, mereka diminta untuk mengikuti rekoleksi pada 15 Nov 2024, di St James the Apostle selama sehari.
Sepanjang rekoleksi itu berlangsung, mereka mendengar ceramah dan perkongsian yang berkaitan untuk menyegarkan semula janji perkahwinan mereka.
Sesi pertama yang bertajuk ‘Kerohanian Dalam Keluarga’ telah disampaikan oleh Katekis Joseph Konten. Dia berkata bahawa ibu bapa adalah katekis pertama kepada anak-anak. Oleh itu, anak-anak cenderung untuk meniru sikap atau perangai ibu bapa.
Katekis Joseph menasihati ibu bapa agar sentiasa berusaha untuk menjadi teladan yang baik kepada anak-anak dan tidak mempengaruhi pemikiran mereka dengan hal-hal yang tidak baik.
Sesi kedua pula bertajuk ‘Komunikasi Dalam Keluarga’ yang disampaikan oleh Katekis Denis Zeno Kogoh. Dia menegaskan betapa pentingnya komunikasi dalam sesebuah keluarga. Komunikasi juga merupakan satu doa dalam konsep kekeluargaan.
Selain itu, Katekis Denis turut berpesan kepada para pasangan agar sentiasa menanam benih cinta kasih dalam keluarga terutamanya dalam pertuturan seharian. Setiap perkataan yang keluar daripada mulut ibu bapa merupakan sebuah doa. Ungkapan yang dipertuturkan juga adalah sumber sukacita dalam kehidupan berkeluarga.
Kemuncak kepada rekoleksi itu ialah sesi perdamaian dalam keluarga di mana semua pasangan diajak untuk mengimbas semula perjalanan dalam perkahwinan mereka. Setiap pasangan yang sudah berkahwin semestinya tidak akan lari daripada kelemahan-kelemahan manusiawi dan kerana itu pasangan haruslah bersikap terbuka dan menerima kekurangan pasangan mereka.
Perdamaian dalam keluarga memainkan peranan yang penting dalam sesebuah perkahwinan. Dengan memberi pengampunan maka pasangan melepaskan perkara yang menyakitkan dalam perkahwinan sekaligus menyemai semula cinta kasih dalam keluarga.
Dua pasangan turut berkongsi pengalaman mereka dalam menempuhi alam perkahwinan dan menzahirkan rasa kesyukuran kerana walaupun terdapat banyak cabaran dalam kehidupan berumahtangga namun mereka masih mampu mengekalkan keutuhan dan keharmonian dalam perkahwinan.
Pasangan pertama iaitu Marselinus Linus dan Emilia Eta yang berasal daripada Keuskupan Maumere Flores, Nusa Tenggara Timur dan telah menetap di daerah Keningau selama 10 tahun. Marselinus Linus bersyukur kerana isterinya banyak menjadi tulang belakang kepada dia untuk berubah menjadi suami yang lebih baik dan tanpa lelah mengajak dia untuk terus percaya kepada Tuhan.
Marselinus berkata, sebelum ini dia lebih terdorong untuk menjalani kehidupan yang bebas seperti menjadi seorang peminum dan penjudi. “Andalkan Tuhan dalam setiap perkara,” itulah pesanan Marselinus kepada semua pasangan yang sedang menempuhi kehidupan dalam rumahtangga.
Pasangan kedua iaitu Garmanus Jamanah@Jaminus Bin Agiik dan Veronica Mailinah Binti Daik berkata hal yang remeh terkadang boleh menjadi hal yang besar sehinggakan membawa kepada pergaduhan dan ada ketikanya berpaling muka daripada pasangan selama berhari-hari.
Garmanus berkata, semakin kita mahu mendekatkan diri kepada Tuhan maka cabaran dalam rumahtangga juga kian membesar. Dia memberi pesan kepada pasangan yang lain agar hiduplah dalam rumahtangga yang harmoni dan sikap taat setia kepada Tuhan akan menuntun pasangan suami isteri berjalan dalam rencana yang dikehendaki oleh Tuhan itu sendiri.
Rachel Cheryll Alfred Nadus iaitu wakil pasangan pembaharuan janji perkahwinan memberikan ucapannya dengan menyatakan bahawa pasangan yang memperbaharui janji perkahwinan mereka pada kali ini bukan saja menyegarkan semula janji perkahwinan tetapi juga mengaktifkan semula benih cinta kasih kepada sesama pasangan.
Rachel turut berharap agar benih cinta kasih ini terus bertumbuh sehingga membawa damai dalam kehidupan berkeluarga. “Terlalu banyak cabaran yang mendatang silih berganti tetapi jangan lupa bahawa kita memiliki satu peribadi yang sangat baik. Dia adalah sahabat sejati yang akan menopang kita di sepanjang jalan kita. Dia adalah Yesus sendiri. Janganlah berjalan mengikut kefahaman manusiawi kita,” tambahnya lagi.
Rachel turut berpesan agar sentiasa berkomunikasi di dalam keluarga. Komunikasi iaitu umpama sebuah doa. Apa yang kita ucapkan itu adalah doa dan setiap perkataan mempunyai kuasa.
Sementara itu, Fr Appolonius menutup Misa Kudus dengan pesanan kepada para pasangan agar berusaha untuk memperbaharui janji perkahwinan setiap tahun dan menyeru agar lebih ramai lagi pasangan memperbaharui janji perkahwinan di masa akan datang.