Tangkapan skrin siaran langsung Facebook Kekitaanfm
Oleh Euseclara Suah
Nov 3 2023
KENINGAU – Bagi persiapan dan untuk mewar-warkan Perhimpunan Umat Katolik ke-12 (PUKAT-12), Kekitaanfm telah menemubual penganjurnya di Konti Kekitaanfm.
Dikendalikan oleh DJEndu, dalam siaran langsung Facebook Kekitaanfm pada 24 Okt lalu, Pengerusi Tim Pastoral Keuskupan Keningau, Patrick Marius menjangka kehadiran mencecah sekitar 300 orang.
Program PUKAT yang diadakan sekali dalam tiga tahun itu diraikan dengan kehadiran semua perwakilan dari setiap paroki di bawah Keuskupan Keningau.
Dengan tema PUKAT-12 iaitu “Membangun umat yang bersifat komuniti, bersikap ambil peduli dan setia bersaksi bagi Kristus,” Rumah Retret Keuskupan Keningau, Tatal menjadi tempat perhimpunan program kali itu.
Dalam bual bicara tersebut, Patrick menjelaskan bahawa tema itu diilhamkan daripada tema pastoral, “Umat Tuhan Berjalan Bersama dalam Yesus Kristus, membangun gereja melalui Institusi keluarga, memelihara bumi sebagai rumah kita bersama, melayani sesama tanpa mengira agama, bangsa dan budaya.”
Tema PUKAT-12 merangkumi tiga konsep gereja sinodal iaitu komuniti, partisipasi dan misi.
Patrick juga menekankan bahawa program itu penting bagi hala tuju Keuskupan Keningau untuk beberapa tahun ke hadapan.
Dia juga berkata bahawa program itu menumpukan penilaian, penambahbaikan dan perancangan untuk mencapai hala tuju yang sudah ditetapkan pada awal mulanya PUKAT. Program itu juga membuka peluang kepada semua perwakilan untuk membentangkan hasil soal selidik yang dijalankan di paroki masing-masing.
Setelah itu, setiap hasil yang diperoleh daripada setiap perwakilan akan dinilai, dibaiki dan dirumuskan mengikut fokus dan tujuan PUKAT-12 agar dapat dilaksanakan oleh semua umat yang terlibat dalam perancangan tersebut.
Patrick berharap agar semua dapat merasakan kebersamaan dan semangat kerohanian daripada sinodaliti.
DJEndu berkata dia tidak sabar untuk mendengar pembentangan daripada setiap perwakilan paroki kerana, dia tertarik untuk melihat perubahan tentang tanggapannya sebelum dan selepas PUKAT berlangsung.
Pengerusi Tim Pastoral itu menjelaskan bahawa, “Kita bertungkus-lumus merancang serta melaksanakan program besar ini di mana ia melibatkan kos serta pengorbanan yang banyak kerana PUKAT itu adalah untuk perkembangan iman dan gereja seterusnya bagi mencapai matlamat keuskupan.”
“Untuk mencapai matlamat itu, kita perlu langkah-langkah yang bijak dan keterlibatan kita juga harus dilihat, dinilai dan diperbaiki kerana peredaran masa begitu cepat. Oleh itu, setiap perancangan pastoral perlu disesuaikan mengikut keadaan dan situasi untuk memudahkan tindakan yang seterusnya,” jelas Patrick.
Hala tuju daripada program itu adalah untuk membangun umat yang komited dan efektif melayani kerajaan Tuhan.
DJEndu mengingatkan para pendengar dengan kata pesanan daripada Uskup Cornelius Piong, “Pelayanan memang berat, tetapi tidak membebankan.”