Oleh Stella A Sebastian (Katekis Pembimbing PMG) (Foto: SOCCOM)
LAHAD DATU – Setiap tahun, Pertemuan Minggu Gembira (PMG) membuat Majlis Penutupan dan Penyampaian Anugerah kelas. Pada tahun ini, lebih Istimewa, kerana untuk pertama kalinya majlis dapat diadakan di dalam dewan tertutup paroki yang baharu. Dalam masa yang sama, majlis tahun ini disambut sekali bersama sambutan Ulang Tahun Keuskupan Sandakan yang ke-17 pada 13 Okt 2024.
Lebih kurang 500 pelajar bersama ibu bapa masing-masing telah hadir di dalam majlis itu. Kesemua pelajar tergolong daripada kelas Tadika yang berumur enam tahun sehingga Kelas Komuni yang berumur 12 tahun.
Bertemakan “Melayani dan mengasihi satu sama lain” yang bermaksud kita melayani dan mengasihi semua murid tanpa mengira bangsa. Tahun ini merupakan tahun yang mencabar bagi semua pembimbing, kerana banyak tenaga, buah fikiran dan sumbangan dari segi kewangan yang diperlukan untuk membina bangunan kateketikal yang baru sahaja dapat disiapkan.
Puji dan syukur kepada semua ibu bapa yang memberikan sokongan kepada pihak gereja dan para pembimbing dalam kebersamaan membangunkan bangunan katekatikal.
Oleh itu, para pembimbing bertungkus lumus memberikan persiapan yang terbaik bagi membahagiakan para pelajar serta menghargai sokongan daripada ibu bapa.
Acara bermula pada tepat 11.00 pagi dengan doa pembukaan yang dipimpin oleh Fr Stanley William Matakim, Paderi paroki St Dominic, Lahad Datu. Setelah itu, ucapan daripada Pengerusi PMG, Sebastian Jude Francis yang menjadi tunjang utama majlis itu di mana beliau sentiasa menginginkan yang terbaik buat anak-anak murid PMG terutama sekali dari segi kemudahan.
Beliau sering kali berkata di setiap ucapan beliau “Ibu bapa adalah katekis utama”. Ibu bapa merupakan katekis utama anak-anak kerana, mereka lebih banyak masa bersama anak-anak.
Beliau selaku pembimbing berpesan kepada kelas komuni untuk, “teruskan kelas sehingga penguatan, semoga anak-anak kelas komuni dapat menerima Yesus dengan sepenuh hati di dalam hidup”.
Seterunya, sedikit ucapan daripada Fr Stanley diikuti dengan acara pemotongan kek bersama dengan sister, wakil pengerusi Majlis Pastoral Paroki (MPP), pengerusi komiti-komiti gereja serta para katekis pembimbing.
Acara diteruskan dengan pelbagai persembahan yang menyentuh hati daripada katekis pembimbing PMG serta pelajar PMG. Turut dipancarkan juga video perjalanan kelas dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
Sebanyak 27 pelajar akan menerima anugerah kelas dari kelas tadika sehingga kelas komuni. Kelas komuni terbahagi kepada 3 kategori iaitu 12 tahun, 13 tahun keatas dan pelajar khas.
Seramai 27 pelajar telah menerima anugerah kelas mengikut pencapaian yang mereka usahakan sepanjang pembelajaran mereka. Peyampaian anugerah kelas kepada pelajar disampaikan oleh ibu bapa sendiri sebagai tanda penghargaan dan dorongan untuk menghidupi “Ibu bapa adalah katekis utama”.
Pihak Social Communication (SOCCOM) St Dominic telah menyediakan photobooth dengan jubah dan topi untuk pelajar PMG merasai suasana konvo serta merakam kegembiraan bersama ibu bapa.