MCYMC bermesyuarat online pertama sejak PKP dalam Google Meet Platform
By Christina David
June 29 2020
PARA pemimpin belia dan kampus dari 9 keuskupan, Malaysian Catholic Youth Minister Committee (MCYMC), telah mengadakan mesyuarat online pertama pada 9 Jun yang lalu, iaitu mewakili Keuskupan Kota Kinabalu, Keningau, Sandakan, Sibu, Miri, Kuching, Penang, Melaka-Johor dan Kuala Lumpur.
Agenda mesyuarat memberi tumpuan untuk mendapatkan maklumat dan berkongsi cara pelayanan dengan menggunakan sosial media dan teknologi sedia ada. Oleh kerana semua tempat di Malaysia masih mengikuti arahan kerajaan untuk penjarakan sosial, maka penjangkauan belia perlu diperbaharui dan salah satu cara adalah melakukan program-program secara atas talian.
Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia termasuklah Malaysia merupakan krisis kesihatan yang mengancam kelangsungan dan kesejahteraan hidup masyarakat. Ianya bukan saja memberikan impak yang sangat besar kepada negara tetapi juga memberi kesan yang sangat besar kepada aktiviti manusia.
Kini hampir tiga bulan perintah kawalan pergerakan secara berperingkat telah dilaksanakan dan walaupun kawalan sudah dilonggarkan sedikit namun, untuk melakukan aktiviti yang memerlukan perkumpulan masih belum diperbolehkan.
MCYMC adalah antara pergerakan belia katolik yang turut terkesan dengan pendemik ini. Namun, seperti kata Bapa Suci Fransiskus dalam Christus Vivit 104 yang menyatakan “pasti ada jalan keluar”, segala halangan dan kesukaran tidak menjadi menghalang untuk mereka melaksanakan tanggungjawab mereka.
Anna Theresa Amandus, pemimpin belia dari Keuskupan Sandakan, berpendapat bahawa mesyuarat ini sangat membantu pelayan-pelayan belia yang lain dalam usaha untuk ‘stay in touch’ dengan para belia di tempat masing-masing dan bagaimana untuk menghidupi iman meskipun berada dalam situasi yang sukar sekarang ini.
Mereka juga berpeluang untuk saling mengongsikan khabar mereka sepanjang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta mengongsikan perkembangan aktiviti di tempat masing-masing.
Menurut Roney Aming, pemimpin belia dari Keuskupan Keningau, kaedah mesyuarat secara online ini sangat sesuai dan membantu terutama dalam situasi sekarang.