Oleh Linda Edward
Sep 12 2020
PETALING JAYA – Sempena negara kita meraikan ulangtahun Hari Merdeka ke-63 dan ulangtahun Hari Malaysia ke-57, tahun 2020 juga menandai ulangtahun ke-50 Rukun Negara, iaitu panduan kesatuan nasional kita yang mengangkat prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang, Kesopanan Dan Kesusilaan.
Di dalam kenyataan medianya pada 28 Ogos yang menyeru “Malaysia yang bersatu dan saling berprihatin”, Persekutuan Kristian Malaysia (PKM) “memohon kepada Kerajaan dan mereka yang memegang autoriti supaya memberi tumpuan sungguh-sungguh untuk mencapai matlamat asas Rukun Negara (dan) mengasaskan semua keputusan dasar bagi Malaysia pada prinsip-prinsip yang termaktub padanya.”
Dengan serangan COVID-19, Gereja berdoa sehati sejiwa untuk belas kasih dan rahmat Tuhan dan bersyukur kerana negara Malaysia mara ke hadapan dengan baik dalam membendung penularan virus ini.
PKM juga menyeru kepada umat agar menyokong semua arahan Kerajaan di dalam usaha menentang coronavirus dengan sikap peduli dan bersatu.
Di dalam kenyataannya juga, PKM menyebut tentang “pertukaran kerajaan yang tidak disangka-sangka ekoran peletakan jawatan bekas Perdana Menteri dan perubahan kesetiaan secara licik oleh wakil-wakil yang tidak menghiraukan amanah yang ditetapkan oleh pengundi yang memilih mereka dalam proses pemilihan demokratik.”
“Marilah kita berdoa bagi kesejahteraan Malaysia, dan bagi Yang Di Pertuan Agong (dan semua yang memegang autoriti agar) dipenuhi dengan hikmat, keberanian, dan kesihatan untuk memimpin Malaysia mengatasi masa yang mencabar ini, serta maju ke masa depan,” kata PKM.
Baca kenyataan penuh di bawah.