Uskup Agung John Wong menyerahkan memento penghargaan kepada Fr Rayner Bisius, Paderi Pembantu Paroki Papar dan Limbahau, tuan rumah SYD5
Oleh Pejabat Belia Keukupan Agung Kota Kinabalu
Sep 21 2021
PENAMPANG – “Walaupun SYD5 dijalankan hanya secara virtual namun saya tetap mengatakan bahawa Sabah Youth Day ke-5 adalah di Papar dan Limbahau,” begitulah antara kata-kata dalam ucapan Sr Dora Obod selaku Koordinator SYD5, pada malam Majlis Kesyukuran V-SYD5 yang telah dijalankan pada 13 September 2021 di Rumah Pembentukan Aspiran, CDC Penampang.
Turut hadir dalam Majlis kesyukuran adalah Uskup Agung John Wong, Fr Isidore Gilbert, Fr Ronnie Luni dari Keuskupan Keningau, Fr Rayner Bisius, Paderi Pembantu Paroki Papar dan Limbahau, Sr Terry Loukang dan Aaron Junior Koordinator LOT serta beberapa MOT yang turut serta.
Program kesyukuran dimulakan dengan Misa Kesyukuran yang dipimpin oleh Fr Isidore Gilbert, Penasihat Rohani SYD5, diikuti dengan ucapan daripada Aaron Junior, Uskup Agung John Wong dan seterusnya ucapan pembubaran SYD5 secara rasmi oleh Sr Dora Obod.
Aaron Junior, Koordinator LOT
Penganjuran SYD5 telah mencatat sejarah dengan penganjuran program selama lima hari secara virtual yang disertai oleh lebih 2,500 peserta. Walaupun hanya dijalankan secara virtual namun semangat pelayanan para penganjur terutama sekali para fasilitator yang terlibat dalam semua program begitu berkobar-kobar.
Tinjauan yang dibuat melalui sosial media seperti Facebook juga mendapati semangat dan keterujaan para peserta untuk mengikuti semua program yang dilaksanakan oleh penganjur begitu menggembirakan. Turut didapati bahawa ada beberapa belia yang sanggup mengambil risiko mendaki bukit dan bermalam dalam hutan semata-mata untuk mendapatkan capaian internet yang baik supaya dapat mengikuti program V-SYD5 dengan lancar dan pelbagai lagi cerita yang dikongsikan melalui paparan Facebook.
Sr Dora Obod
Dalam pertemuan singkat itu, Sr Dora Obod bersyukur kepada Tuhan atas kelancaran penganjuran V-SYD5 pada kali ini. Pengalaman menganjurkan program besar yang melibatkan tiga keuskupan di Sabah secara virtual sudah semestinya mempunyai cabarannya yang tersendiri namun semuanya itu menjadikan V-SYD5 ini menjadi lebih istimewa.
Akhir sekali, Sr Dora mewakili semua Penganjur VSYD5 menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam penganjuran Sabah Youth Day 5 terutama sekali kepada:
Penaung:
Archbishop Datuk John Wong, DD, Diosis Agung Kota Kinabalu
Bishop Datuk Cornelius Piong, DD, Keningau Diosis
Bishop Datuk Julius Dusin Gitom, DD, Sandakan Diosis
Penasihat Rohani:
- Fr Isidore Gilbert
- Fr Ronnie Luni
- Fr Dafrin Diwol
- Sr Terecia Loukang, FSIC
Paderi Paroki/Pembantu Paderi Paroki St. Joseph Papar dan Holy Rosary Limbahau
- Fr Thomas Yip
- Fr Rayner Bisius
- Mendiang Fr Jasery Gabuk
Local Organising Team (LOT)
- Pengerusi dan Ahli-ahli MPP Limbahau dan St. Joseph Papar
- Semua Keluarga Angkat Limbahau dan Papar
- Para Sukarelawan Papar dan Limbahau
Pusat Online Broadcast dan Penginapan:
Catholic Archdiocesan Centre dan Emmaus Home, Kota Kinabalu.
Semua Paroki yang telah memberikan persembahan mantap dalam acara Welcoming Concert, Tematik dan Youth Fiesta, para Fasilitator dan Resource Persons, semua badan-badan Kerajaan dan Pemimpin Masyarakat, para penderma yang bermurah hati, para ibu bapa dan penjaga serta semua yang terlibat menjayakan penganjuran Virtual SYD5.
Kejayaan Virtual Sabah Youth Day 5 kali ini adalah atas sokongan dan kerjasama semua. Puji Tuhan.