
Oleh Clare D.L
NABAWAN – Majlis ulang tahun pentahbisan Imamat bagi empat orang paderi berjaya diadakan di Gereja St Bede Nabawan pada 21 Feb 2025 atas kerjasama daripada tiga Komuniti Umat Katolik (KUK) di Zon Nabawan; KUK Bonda Maria Diangkat ke Syurga, KUK Kerahiman Ilahi dan KUK St Bede Nabawan.
Para paderi yang diraikan ialah Msgr Gilbert Lasius dan Fr Philip Muji bagi ulang tahun pentahbisan ke-17, Fr Bede Morti, ulang tahun yang ketiga dan Fr Dominico Evan, CSE, ulang tahun yang kedua.
Majlis ulang tahun bermula dengan perayaan Ekaristi yang dipimpin oleh Msgr Gilbert, Fr Bede, serta Fr Phillip dan dibantu oleh Fr Anthony Mikat dan Fr Clement Abel.
Dalam ucapannya, Msgr Gilbert menyebut satu sosok yang menjadi mentor pelayanan dan menyuburkan benih panggilan menjadi paderi dalam dirinya iaitu mendiang Bro Peter Richard Phelan.
Bro Peter yang berasal dari Ireland itu, memang tidak asing bagi umat Katolik di Zon Nabawan kerana dia adalah antara misinonari yang memperkasa iman umat Katolik terutamanya dalam golongan muda.
Kisahnya, misionari itu mengalami kesukaran menguatkan suaranya agar didengar oleh umat semasa Ibadat Hari Minggu, lalu meminta bantuan Msgr Gilbert yang pada ketika itu melayani sebagai ahli Kerasulan Belia Katolik (KBK) di Gereja St Bede untuk membacakan petikan doa Ibadat Hari Minggu bersama agar dapat didengar oleh umat.
Begitulah caranya Tuhan memakai pelayanan sederhana yang kini membuahkan hasil. Buktinya, pada awal pelayanan Msgr Gilbert sebagai seminarian, dia berkongsi bahawa dia mahu menjadi seorang paderi kerana paderi keuskupan kurang.
Kini, setelah menjadi paderi, dia terdorong kerana cinta akan pelayanan yang berkomitmen, mengangkat martabat manusia dan memberi inspirasi.
Majlis seumpama itu telah diadakan sebanyak dua kali dan Fr Bede mengumumkan bahawa KUK Bonda Maria Diangkat ke Syurga, Tetagas sebagai tuan rumah majlis itu pada tahun hadapan.
“Bila kami merayakan ulang tahun kepaderian, ia bukan perayaan untuk kami sahaja. Ulang tahun kepaderian kami ini adalah untuk semua umat kerana kami adalah milik umat dan kamu adalah sumber kekuatan dan peneguhan dalam pelayanan kami,” kata Msgr Gilbert.