Para graduan yang menghadiri Majlis Konvokesyen tamat Kursus Pensijilan Tahap Satu
Oleh Stella Eming Dydimus
Jan 13 2024
KUALA PENYU – Empat paroki di bahagian pedalaman bawah Keuskupan Keningau berbangga dengan para graduan yang tamat Kursus Pensijilan pada 1 Dis 2023.
Majlis Konvokesyen buat julung kalinya diadakan bagi meraikan seramai 94 graduan yang tamat Kursus Pensijilan Tahap Satu bagi sesi Jun – Nov 2023.
Para graduan ini terdiri daripada katekis terlatih, katekis pembimbing, pemimpin doa-doa umum dan umat awam dari paroki St Yohanes, Sipitang, St Valentine, Beaufort, St Patrick, Membakut dan St Peter, Bundu, Kuala Penyu.
Acara ini dimulakan dengan Misa Kudus di Gereja St Peter yang dipimpin oleh Fr Rudolf Joannes serta dibantu oleh Fr Clement Abel, Fr David Mamat, Fr Bede Antonius dan Fr Benedict Runsab.
Hadir sama dalam acara ini ialah Pengetua Kursus, Sdra John Lainsin dan para pengajar, Fredolin Umis, Patrick Marius dan Robson Douglas.
Menyampaikan homili berdasarkan pembacaan hari itu, Fr Rudolf mengucapkan syabas kepada semua graduan kerana keluar dari kepompong keselesaan untuk mengikuti kursus yang dianjurkan oleh Pusat Pastoral Keuskupan (PPK). Ini bermaksud para graduan ingin menyumbangkan talenta yang diberikan oleh Tuhan demi membangun kerajaan Tuhan di dunia.
“Bersukacitalah apabila Tuhan datang dan mendapati kita tidak tidur sebaliknya sedang bekerja, berjaga-jaga dan berusaha menjadi sarana Tuhan demi mewartakan Khabar Sukacita,” pesan Fr Rudolf.
Selepas Misa, para graduan berarak masuk ke Dewan St Peter Bundu diiringi tepukan gemuruh dari ahli keluarga, rakan-rakan dan umat yang hadir. Penyampaian sijil disempurnakan oleh Fr Rudolf Joannes.
Penghulu peserta kursus, Sdra Paul Bigul dalam ucapannya menyatakan rasa syukur dan terima kasih kepada para paderi dan guru yang berjalan bersama mereka selama enam bulan. Ucapan terima kasih juga disampaikan kepada paroki St Valentine Beaufort yang menjadi tempat berkursus kepada 94 graduan tersebut.
Fr Rudolf Joannes dalam ucapannya mengajak para garduan untuk mengenal pasti keperluan pastoral di paroki masing-masing. – Herald Malaysia