Gambar berkumpulan selepas Misa Kudus pada hari terakhir bersama Fr Ramon Borja, SDB dan seminarian
Oleh Christine Cyrill, Today’s Catholic
Jan 13 2024
KOTA PADAWAN – Kuching Campus Ministry (KCM) telah menganjurkan Kuching Campus Ministry Weekend Hangout 2023 (KCMWH) di St Lukas, Kota Padawan, 3 hingga 5 Nov 2023 lalu.
Program tahunan ini disertai seramai 45 orang mahasiswa dari pelbagai kampus, termasuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Samarahan 1 dan 2, ILKKM Kuching, Politeknik Matang, dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang.
Apakah KCMWH?
Ia merupakan program hujung minggu yang melibatkan pelajar Katolik dan Kristian dengan objektif mengeratkan persahabatan mahasiswa Kristian di pelbagai kampus di Keuskupan Agung Kuching.
Program ini diisi dengan sesi katekesis, berdoa dan mendekatkan diri dengan Tuhan, pertumbuhan diri (kepimpinan dan pengetahuan), pelayanan (membantu sesama) dan solidariti (perhubungan antara satu dengan yang lain).
Tema, Growth in Spirit (Bertumbuh dalam Roh) adalah diinspirasikan dari 1 Korintus 16:13, “Berjaga-jagalah! Berdirilah dengan teguh dalam iman! Bersikaplah sebagai lakilaki! Dan tetap kuat! Lakukanlah segala pekerjaanmu dalam kasih!”.
Pada hari pertama, program dimulakan dengan acara suai kenal dan pada sebelah malam, para peserta berjalan sambil berdoa rosari.
Keesokan harinya, program diteruskan dengan sesi perkongsian oleh Alexis Bong dari Holy Cross Ministry of Healing and Deliverance.
Sesi tersebut amat membantu peserta untuk lebih mengetahui tentang peperangan dan pembebasan rohani serta menawarkan sesi kaunseling kepada para peserta program.
KCMWH turut dibantu oleh para seminarian dalam sesi seperti Lectio Divina.
Pada sebelah malam, para peserta berdoa sambil mengelilingi unggun api.
Pada hari terakhir, Brother Patrick menyampaikan perkongsian tentang Perjalanan ke Emmaus dari Injil Lukas 24:13-35.
KCMWH diakhiri dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh Fr Ramon Borja, SDB. Para peserta diharapkan dapat menyebarkan Khabar Sukacita Tuhan melalui perbuatan dan perkataan mereka di kampus masing-masing.
Antara testimoni atau kesaksian peserta:
“Malam rosari dijalankan dengan lancar dan baik, dapat fokus dan kekal terjaga kerana doa dibuat sambil berjalan mengelilingi tempat terbuka St Lukas. Suasana sepanjang malam rosari amatlah menenangkan dengan dekorasi di grotto yang ‘perfect’!”
“Saya suka sesi ‘Growth in Spirit’, dan sesi tersebut merupakan sesi yang paling diingati sepanjang program.” “Acara Unggun Api pada malam tersebut adalah terbaik!” – Herald Malaysia