Orang muda Katolik berdoa ketika mereka menghadiri misa yang dikendalikan oleh Pope Francis untuk mengakhiri Hari Belia Asia ke-6 di Haemi, kira-kira 150 kilometer ke selatan Seoul, pada 17 Ogos 2014. (Foto: AFP)
March 28 2023
Jumlah penganut Katolik muda pada misa kudus Ahad di Korea Selatan menurun sebanyak 17 peratus berbanding tahun sebelum wabak Covid-19, kata satu tinjauan.
Tinjauan oleh Institut Penyelidikan Katolik Korea bagi Persidangan Uskup Katolik mendapati bahawa 36.1 peratus belia Katolik berusia dua puluhan menyertai misa Ahad pada 2023 berbanding 53.2 peratus sebelum wabak itu, Catholic Peace Broadcasting Corporation (CPBC) melaporkan pada 23 Mac.
Tinjauan dalam talian telah dijalankan dari 10-16 Jan di kalangan 1,063 penganut Katolik berumur 19 tahun ke atas.
Dalam kalangan responden berusia dua puluhan, seorang daripada empat berkata mereka hanya menyertai misa pada perayaan-perayaan khas atau tidak menyertai langsung.
Pelbagai sebab untuk ponteng misa Ahad juga didapati oleh tinjauan itu.
“Saya sudah biasa tidak menghadiri misa Ahad” menduduki tempat teratas dengan majoriti 58 peratus responden memilihnya sebagai alasan untuk ponteng misa pada hari Ahad.
Antara pilihan lain yang dipilih oleh responden, kekurangan pengakuan, ketakutan terhadap jangkitan Covid-19, dan “penyertaan misa kudus bukan lagi kriteria penting untuk iman” masing-masing menyumbang 30 peratus daripada respons.
Tinjauan itu juga mendedahkan gambaran umum kehadiran misa Ahad yang berterusan berbanding tempoh wabak dan akhir-akhir ini.
Antara responden yang menyatakan bahawa mereka mengelak misa Ahad sekitar 70 peratus adalah wanita.
Menurut tinjauan itu, 58.8 peratus penganut Katolik berumur 50 tahun ke atas di Wilayah Gyeongsang Utara dan Seoul melaporkan bahawa mereka tidak menghadiri misa Ahad.
Tinjauan itu juga mendedahkan bahawa 13.6 peratus umat Katolik yang mengambil bahagian dalam misa Ahad secara teratur sepanjang tempoh pandemik menghadiri misa pada perayaan khas atau tidak menghadiri sama sekali.
Trend mengelak misa Ahad adalah tinggi dalam kalangan penganut yang telah menjalani kehidupan beragama selama lebih 31 tahun dan isi rumah berpendapatan tinggi, lapor CPBC.
Tinjauan berasingan dan bebas yang dijalankan dalam talian oleh K-Stat Research di kalangan 1,000 orang menilai respons gereja Katolik semasa pandemik Covid-19.
Menurut tinjauan itu, 41.9 peratus responden menyatakan bahawa respons gereja Katolik adalah “baik”, dan 33.7 peratus menyatakan respons sebagai “tidak mencukupi.”
Kemerosotan dalam kehadiran misa dilihat sebagai petanda yang membimbangkan kerana Gereja Korea telah merekodkan penurunan dalam panggilan paderi berikutan penurunan kadar kelahiran dan penurunan amalan beragama yang semakin meningkat di negara itu.
Bilangan paderi yang baru ditahbiskan turun kepada 87 pada 2023 daripada 131 pada 2011, penurunan sebanyak 35 peratus, menurut Statistik Gereja Katolik di Korea, badan media melaporkan.
Selain itu, bilangan pelajar di seminari di seluruh negara menurun sebanyak kira-kira 30 peratus daripada 1,587 pada 2011 kepada 1,137 pada 2021. Dalam tempoh yang sama, bilangan pelajar yang mendaftar di seminari menurun sebanyak 40 peratus daripada 223 kepada 138.
Walaupun penurunan dalam panggilan, data gereja menunjukkan bahawa jumlah penganut Katolik di Korea Selatan meningkat daripada 5,442,996 pada 2013 kepada 5,938,045 pada 2023. – UCA News (Terjemahan oleh CS)