Oleh SOCCOM KM
PENAMPANG – Pada 20-21 April, seramai 40 pasangan telah mengikuti retret keluarga yang dianjur oleh komuniti Couples For Christ Sabah. Theme Weekend Retreat (TWR) atau Retret Tema Hujung Minggu bersama dengan pasangan yang dihadiri oleh ahli CFC dan juga turut dibuka kepada pasangan Katolik yang lain. Dengan tema “Menjadi hamba dan terang kepada semua bangsa” Retret itu diadakan di Hall of Faith, Kolopis Penampang.
Selama dua hari para peserta retret telah mendengar empat sesi ceramah yang disampaikan oleh para pemimpin CFC Sabah. Ceramah pertama bertajuk Tuhan Menjadi Hamba disampaikan oleh Datuk Richard Jomiji membawa pererta merenung akan kerendahan hati Sang Juruselamat sehingga Dia sanggup mengosongkan diri dan menyelamatkan umat manusia. Seterusnya ceramah kedua oleh Kat Condrad Wong yang bertajuk Raja yang Taat turut mengajak para peserta untuk melihat sifat Yesus yang taat dalam mengerjakan misi Tuhan. Ceramah ketiga bertajuk Panggilan Kepada Pelayanan disampaikan oleh Benny Lim mengajak para peserta siap terlibat untuk melayani dan mengasihi Tuhan dan sesama. Topik terakhir oleh Dr Jiloris Federick Dony yang bertajuk Aku dan keluargaku akan beribadah kepada Tuhan. Dalam ceramah keempat para pasangan beserta dengan keluarga diajak untuk tetap setia mengasihi dan melayani Tuhan dalam apa jua situasi kehidupan baik pada waktu senang atau pada waktu yang sukar.
Selain mendengar sesi ceramah yang disampaikan, para peserta juga berpeluang mendengar beberapa kesaksian hidup iman yang mana turut membantu para peserta untuk lebih mendalami intipati dalam ceramah yang telah disampaikan. Rata-rata peserta sama ada yang pertama kali mengikuti retret ini ataupun yang telah mengikuti beberapa siri retret tersebut sebelum ini telah disegarkan dan diteguhkan. Beberapa pasangan telah ditemubual dan mendapati respon mereka mengenai retret tersebut memberi impak yang besar dalam kehidupan berkeluarga.
Shalom semua saya dan isteri amat bersyukur kerana berkesempatan mengikuti retret seumpama ini. Ini merupakan pengalaman pertama saya dan isteri mengikuti retret khusus untuk para pasangan Katolik.
Banyak perkara baharu yang kami pelajari dan ianya sangat baik untuk kami bawa pulang dalam keluarga kami. Kami juga bertekad untuk mengikuti retret ini pada tahun hadapan sekali lagi. Kerana retret ini sangat baik dan memberi keteguhan dalam iman. ~ Perkongian Kat Petrus Matong dan Sylviannie Kopitom
Shalom semua kami merupakan keluarga muda dan kami mempunyai empat orang anak yang usia mereka sekitar 6-13 tahun. Ini merupakan pengalaman pertama mengikuti retret seumpama ini. Sangat baik dan sangat menyentuh hati bagi setiap sesi ceramah dan perkongsian iman.
Kami merasakan amat rugi jika tidak dapat menyertai retret ini. Kerana initpati retret amat membantu kami untuk merenungi dan berusaha berubah menjadi alat bagi saluran berkat Tuhan dengan menjadi hamba dan terang kepada dunia. ~ Perkongian Benedict Bernie Baun dan Cornelia Juanah Entigang