Perarakan masuk Misa Kudus sempena Perayaan Santa Faustina peringkat Keuskupan Keningau
Oleh Florence
Oct 20 2022
TENOM – Perayaan Pesta Santa Faustina peringkat Keuskupan Keningau dihadiri lebih 300 umat pada 5 Oktober lalu di Paroki St Anthony Tenom. Walaupun Pesta Santa Faustina jatuh pada hari bekerja, ia tidak menghalang kehadiran umat daripada seluruh paroki dan mission di keuskupan Keningau.
Misa Kudus dipimpin oleh Uskup Cornelius Piong dibantu oleh Fr Bede Morty, Pembimbing Rohani Komisi Kerasulan Kerahiman Ilahi, Fr Ronnie Luni, paderi paroki dan Fr Anthony Mikat.
Novena sembilan hari diadakan pada 26 Sep hingga 4 Okt sebagai persiapan sambutan Pesta Santa Faustina.
Jeffry Jumpie, Pengerusi St Anthony, berterima kasih kepada AJK Pelaksana dan semua umat atas semangat kerjasama dalam menguatkan dan mendoakan agar sambutan berjalan dengan lancar.
Fr Bede berharap agar semua pengamal Devosi Kerahiman Ilahi dapat berjalan bersama dan meneladani Santa Faustina untuk sentiasa mahu bersandar pada Tuhan.
“Tahniah kepada Paroki St Anthony kerana berjaya melaksanakan perayaan sebagai tuan rumah dan teruskan semangat kesatuan kamu,” kata Fr Bede.
Uskup Cornelius berkata, “Visi dan misi kita membawa kerahiman Tuhan di dalam keluarga, komuniti dan masyarakat itu penting. Walau di mana pun kita berada, kita perlu sentiasa bersedia untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Cabaran memang banyak, terutama selepas pandemik di mana ramai yang terkesan dengan emosi dan kerohanian,” kata uskup.
Prelatus membawa para umat untuk berjalan dalam semangat gereja sinodal agar komited melayani dalam kerajaan Tuhan dan merealisasikan ‘Keluarga Malaysia, Teguh Bersama’.
Selepas Misa penutup, Uskup Cornelius mengumumkan bahawa tuan rumah Pesta Santa Faustina tahun 2023 adalah paroki Membakut.
Pelbagai acara menarik turut diadakan di dewan Msgr Wacther iaitu persembahan daripada Komuniti Umat Katolik, cabutan nama bertuah dan acara pemotongan kek.
Uskup Cornelius Piong memimpin Misa Kudus