Oleh Barry A.H
KOTA KINABALU – Pada 27 Ogos, bicara rohani diadakan bersama Sr Judith Benedict, FSIC (Franciscan Sisters of The Immaculate Conception) dengan tema ‘Menakluki rasa takut, cemas dan bimbang bersama Tuhan’ secara maya melalui aplikasi Google Meet anjuran Legasi Doa Rosari (LDR).
Legasi Doa Rosari merupakan satu kumpulan doa rosari dalam alam maya yang disertai oleh umat dari pelbagai tempat, khususnya Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan juga Negara Indonesia. Bergerak secara maya LDR mempromosikan ajakan berdoa rosari secara rutin sebagai saranan memperkuatkan iman, jelas Kathy yang berasal dari Beaufort, Sabah, pengasas utama kumpulan dalam talian LDR.
LDR ditubuhkan pada bulan Jun 2021, sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kini, di mana ahli-ahlinya sudah menjangkau lebih 200 orang.
LDR juga telah berjaya menganjurkan ruangan bicara rohani dengan menjemput narasumber-narasumber yang terdiri daripada paderi, sister, brother, pewarta injil, dan para rohaniwan. Mereka yang pernah mengisi ruangan aktiviti bicara rohani ialah Brother Peter Langgayang, OFMCap (Order of Friars Minor Capuchin), Sr Tauria Taurin, FSIC, Sr Susan Dulang, SSFS (Sisters of St Francis of Sarawak) dan Sr Judith Benidict, FSIC.
Antara aktiviti rutin yang dijalankan oleh LDR adalah doa rosari kanak-kanak setiap hari Isnin dan Jumaat pada jam 8.00-9.00 malam. Manakala untuk golongan dewasa, diadakan setiap hari Selasa hingga Khamis, Sabtu dan Ahad pada jam 9.00 malam. Pada sebelah petang pula, Doa Kerahiman Ilahi dilakukan pada setiap hari iaitu jam 3.00 petang.
Selain itu, Doa Novena juga diadakan sesuai pada waktu contohnya Novena Tiga Salam Maria, Novena Hati Kudus Yesus dan rosari 20 dekad.
LDR juga membuat Doa Arwah setiap sebulan sekali bersama ahlinya dengan menyebut nama keluarga mereka yang sudah meninggal.