
Oleh Stanley Ung
KOTA KINABALU – Seramai 91 murid, enam guru dan tiga orang Board of Governors (BOG) Tadika Mission Divine Mercy KKIP mengadakan lawatan sambil belajar di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Cawangan Sembulan, Kota Kinabalu.
Lawatan itu merupakan pengalaman yang menyeronokkan dan bermanfaat kepada pelajar tadika kerana mereka berpeluang untuk belajar tentang pekerjaan anggota bomba, keselamatan serta kerja berpasukan secara interaktif.
Guru Besar Tadika Mission Divine Mercy, Elvinah Kelan menjelaskan tujuan lawatan itu diadakan adalah untuk memberi pengenalan kepada tugas dan peranan bomba kepada pelajar tadika. Dalam lawatan itu, para pelajar dibimbing oleh anggota bomba untuk melihat dan belajar tentang pelbagai peralatan yang digunakan dalam pekerjaan iaitu hos bomba, topi keselamatan serta pakaian perlindungan.
Para pelajar juga didedahkan secara ringkas bagaimana anggota bomba memadamkan kebarakan dan menyelamatkan orang dalam situasi kecemasan sebagai pengetahuan awal pelajar tentang kerja berpasukan serta kepentingan bantuan dalam komuniti.
Seterusnya, untuk pelajaran keselamatan kebakaran bagi pelajar di mana anggota bomba memberikan taklimat mengenai langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil jika berlaku kebakaran seperti cara menggunakan pemadam api yang betul dan kepentingan pelan kecemasan di rumah.
Taklimat disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami oleh pelajar tadika seperti melalui permainan atau demonstrasi yang menarik agar mereka dapat mempelajari konsep keselamatan dengan berkesan.