Uskup Agung John Wong memberikan Sakramen Penguatan kepada salah satu calon di Paroki St Edmund Kota Belud pada 6-7 Nov
Oleh Alfred Tining
Nov 10 2021
KOTA BELUD – Uskup Agung John Wong menyempurnakan upacara penerimaan Sakramen Penguatan kepada seramai 114 orang dalam Misa Kudus sempena lawatan pastoral uskup di Paroki St Edmund di sini pada 6 dan 7 Nov 2021.
Upacara ini dibahagikan kepada dua kali Misa iaitu Misa Senja pada 6 Nov dan Misa hari Minggu pada 7 Nov. Ini bertujuan untuk mengurangkan kepadatan umat demi menjaga SOP yang telah ditetapkan oleh KKM dalam memerangi wabak Covid-19 yang masih belum berakhir.
Uskup dalam homilinya mengajak umat untuk merenung dan mencontohi sikap perempuan janda dalam pembacaan pertama dan Injil iaitu dalam soal pemberian. Perempuan janda itu telah memberi yang terbaik dan ikhlas apa yang ada dari yang lain, yang mungkin dilihat sangat sedikit tetapi bagi Yesus ianya sangat banyak kerana mereka bukan memberi kerana kelimpahan tetapi memberi dari apa yang ada pada mereka. Seperti Yesus dalam pembacaan kedua yang sanggup mati di kayu salib demi menebus seluruh dosa umat manusia.
Uskup juga mengajak umat agar sama-sama berdoa kepada para penerima Sakramen tersebut agar mereka dikuatkan dan diperbaharui oleh Roh Kudus untuk menghadapi kehidupan seterusnya. Dalam Misa ini Uskup dibantu oleh Fr Ambrose M Atang dan Fr Florian Dompok.
Dalam sesi ucapan Pengerusi MPP Jerrel Soo dan Paderi Paroki Fr Ambrose, bersyukur dan berterima kasih kepada Uskup Agung John Wong di atas lawatannya ke paroki ini, kepada para pembimbing, ibu bapa serta penanggung di atas kerjasama dan komitmen mereka sehingga terlaksananya upacara penerimaan sakramen ini.
Uskup juga dalam ucapannya, selain berterima kasih kepada barisan pelaksana dari paderi sehinggalah ke AJKnya, beliau mengucapkan tahniah kepada para penerima Sakramen Penguatan sambil mencabar di antara mereka untuk menyahut panggilan menjadi paderi, religius dan sister.
Selepas Misa, Uskup dijemput ke majlis ringkas perasmian dan pemberkatan bangunan Tadika Santo Edmund sebelum ke jamuan makan tengahari bersama barisan AJK Pelaksana.
Turut bersama uskup dalam lawatan pastoral ini ialah dua orang aspiran dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu, Celvin Naiyer dan Marcilus Philip.
Para penerima Sakramen Penguatan Paroki St Edmund Kota Belud