Fr Wiandigool Runsab bergambar bersama umat di Sonsogon Paliu
Oleh Joe Guntili
Nov 1 2022
KOTA MARUDU – Pada 19-22 Sep 2022, Fr Wiandigool Runsab bersama rombongan mengadakan lawatan ke Sonsogon Paliu dan Sonsogon Magandai untuk misi lawatan pastoral ke stasiluar di bahagian pedalaman bagi kali terakhir sebelum Fr Wiandigool bertukar ke paroki lain. Walaupun masa ini adalah musim hujan tetapi dengan semangatnya yang kental ia tetap menuruskan lawatan tersebut.
Perjalanan ke Sonsogon Paliu mengambil masa lima jam setengah dari Paroki St.Theresa memandangkan jalan yang sungguh mencabar sekali kerana berlubang-lubang serta berlumpur yang dalam dan kadang-kadang tayar tergantung walaupun menggunakan tayar lipan. Setiap kali lawatan selalu menghadapi kerosakan kereta dan terpaksa meninggalkan kenderaan tersebut buat sementara untuk dibaiki.
Bentuk muka bumi memang sangat mencabar di mana jalan raya sangat licin dan bahaya. Pada hari pertama destinasi kami adalah Sonsogon paliu kerana ia lebih jauh dari Sonsogon Magandai. Aktiviti yang telah dijalankan di Sonsogon Paliu ialah menyerahkan sumbangan berupa pakaian dan makanan serta merayakan Misa Kudus.
Fr Wiandigool bergambar bersama umat di Sonsogon Magandai selepas Misa Kudus
Hari kedua kami berangkat ke Sonsogon Magandai dan syukur kepada Tuhan kerana tidak hujan memandangkan jalan curam dan baru disapu oleh traktor pembalak menyebabkan tanah lembut yg tebal.
Aktiviti yang dijalankan di Sonsogon Magandai ialah Misa kudus dan diteruskan dengan perkongsian daripada peserta rombongan tentang Sakramen perkhwinan dan rencana Tuhan oleh Sr Olga.
Seterusnya, kerohanian dalam keluarga disampaikan oleh Katekis Joe Laimin Guntili, komunikasi dalam keluarga oleh Raymond Voo dan kebajikan oleh Jasni Sakuna.
Hari berikutnya adalah ucapara pemberkatan perkahwinan bagi enam pasangan suami isteri. Selepas itu acara makan dan santai bersama semua umat Sonsogon Magandai.