Kakitangan CAC bergambar bersama Dr Douglas Mitchell (ketujuh dari kiri) dan Bavaria Ann (kedua dari kanan) selepas taklimat ringkas
Oleh Euseclara Suah
Mar 30 2023
BUKIT PADANG – Sempena Musim Prapaska, Komiti Sosial dan Rekreasi Catholic Archdiocesan Centre (CAC) menganjurkan program lawatan sambil belajar di Hospital Mesra Bukit Padang.
Seramai 10 kakitangan CAC dan dua aspiran (FSIC) menyertai lawatan setengah hari itu pada 23 Mac yang dimulakan dengan doa pengiring oleh Sr Terry Loukang.
Setibanya rombongan di Hospital Mesra Bukit Padang pada jam 9.30 pagi, mereka disambut oleh Bavaria Ann, Jururawat yang bertugas pada masa itu. Kemudian rombongan dibawa ke pusat rehabilitasi untuk mendengar taklimat ringkas berkenaan dengan hospital itu.
Dr Douglas Mitchell, Timbalan Pengarah Hospital Mesra berkata bahawa hospital itu sudah beroperasi sejak 50 tahun lalu. Hospital itu adalah satu-satunya hospital sakit jiwa di Sabah dan dikategorikan sebagai hospital pakar yang khusus menjalankan perawatan psikiatri dengan jumlah katil sebanyak 302 buah terbahagi kepada sepuluh wad.
Salah satu perkhidmatan yang disediakan adalah rehabilitasi di mana pesakit diajar untuk kembali berintegrasi dalam masyarakat dengan mempelajari semula kemahiran yang mereka tahu sebelum ini “dan ini adalah cabaran yang besar,” kata Douglas.
“Kami memerlukan badan-badan lain untuk membantu apabila mereka kembali dalam komuniti kerana mereka tidak dapat kembali sepenuhnya seperti kehidupan normal jika stigma itu masih ada,” katanya.
Dr Douglas juga berkata mereka mengambil berat kesihatan mental kanak-kanak di mana Child Intervention Education Center disediakan dalam hospital untuk kanak-kanak yang mempunyai masalah seperti learning disability, autism dan yang berkaitan.
“Ini adalah satu perkara penting sekarang kerana ramai kanak-kanak yang mempunyai masalah seperti ini dan kadang-kadang kesedaran tidak sampai dalam komuniti.
“Ibu bapa juga tidak tahu. Mereka hanya tahu anak mereka ganas dan tidak boleh tidur dan mengenal pasti perkara ini pada peringkat akhir.
“Kami cuba untuk mempromosikan kesihatan mental sebaik mungkin melalui ceramah kesihatan dalam agensi lain, sekolah dan radio-radio tempatan,” kata Douglas.
Kakitangan CAC berjalan di kawasan rehabilitasi pesakit, di unit Hortikultur
Douglas menambah, bukan mudah untuk membuat janji temu di hospital itu kerana mereka perlu melihat kriteria pesakit.
Dia mencadangkan agar masyarakat pergi ke hospital awam atau klinik kesihatan terlebih dahulu untuk menjalankan saringan.
Tambahan pula, terdapat kekurangan speech therapy dalam jabatan kerajaan mahupun swasta dan kos perbelanjaan untuk terapi itu mahal.
“Terdapat banyak perkara yang perlu penambahbaikan. Perkara paling penting adalah kita sedar untuk mengenal pasti masalah yang kita hadapi dan mencari jalan keluar,” katanya.
Pihak hospital menerima seramai 160 hingga 180 pesakit setiap tahun dalam kategori umur 20 hingga 90 tahun.
Dalam taklimat tersebut, Dr Douglas menyentuh tentang MENTARI. Menurut portal rasmi MENTARI, ia adalah satu pendekatan baharu yang dimulakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meningkatkan jangkauan dan integrasi semula pesakit yang mengalami masalah kesihatan mental ke dalam komuniti.
Bagi mereka yang mempunyai masalah dan memerlukan pemeriksaan boleh terus melayari portal rasmi MENTARI.
“Kami berharap,” kata Dr Douglas “dalam masa terdekat kami boleh menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan semoga pihak kerajaan mengutamakan perkara ini.”
Dia berharap agar semua pihak memainkan peranan masing-masing iaitu pihak kerajaan, pihak Kementerian Kesihatan, pihak berkepentingan, pihak komuniti, ahli keluarga dan juga pihak gereja.
Kerjasama daripada semua pihak akan membantu mengurangkan masalah besar yang dihadapi di negeri ini iaitu ketagihan dadah.
Selepas taklimat ringkas, Dominic Lim menyampaikan cendera kenangan kepada Dr Douglas dan Bavaria Ann. Seterusnya, kakitangan CAC dibawa ke tempat rehabilitasi pesakit di Unit Hortikultur iaitu tempat berkebun.
Program selesai pada jam 11.30 pagi.