Lasius
Oleh Linda Edward
August 5 2022
MADSIANG, Penampang – Zeno Lasius Gantis, 31, seorang lagi anak muda berasal dari Kg Moyog Penampang, ditahbis menjadi paderi pada hari ini 4 Ogos, menjadikan dia paderi ke-enam dari kawasan Moyog.
Dia ditahbis pada hari sempena Pesta St John Vianney, santo penaung kepada para paderi, di Catholic Church of Madsiang, salah satu gereja di bawah Paroki Holy Trinity Inobong (HTI).
“‘A pure heart, create for me oh God’, saya mahu bekerja untuk Tuhan, dan doa saya setiap hari agar hati saya sentiasa murni dan suci untuk pekerjaan itu,” kata paderi baharu tentang tema pentahbisan yang dipilihnya.
Lasius ditahbis oleh Uskup Agung John Wong dalam Misa Kudus pada jam 10.00 pagi di hadapan hampir 1,000 kaum keluarga dan umat yang hadir.
Kini Fr Lasius akan menjalankan tugasnya sebagai pelayan bersama dengan Uskup Agung di dalam Jabatan Imamat, antaranya menjalankan sakramen-sakramen gereja, berkongsi Firman Tuhan dan melayani orang-orang miskin.
Lasius bersama ibu bapa dan ahli keluarganya
Sesuatu yang menggembirakan katanya namun pada masa yang sama merisaukan, “Saya gembira tapi pada masa yang sama risau akan tanggungjawab yang besar,” kata paderi baharu.
Lasius berkata pentahbisannya menunjukkan bahawa Tuhan tidak pernah membiarkan dia berjalan sendirian dan pada keadaan atau hari yang sukar, Tuhan tidak pernah meninggalkan dia.
Ditanya mengenai cerita panggilannya, Lasius berkata rancangan awalnya hanyalah memasuki seminari selama satu semester (3-4 bulan) dan terus berhenti selepas itu.
Lasius mempunyai pengalaman bekerja hampir tiga tahun di beberapa tempat termasuk syarikat lanskap dan industri peruncitan.
Doa Litani kepada santo sangti
Kata Lasius, sewaktu bekerja, dia mahu berhenti daripada melayani di gereja kerana ingin memberi ruang kepada kehidupan kerjaya untuk membela masa depan. Namun, sekiranya dia terus berhenti begitu sahaja, ramai rakan-rakan akan hairan dan ‘sakit hati’.
Kerana tidak mahu hilang dari pelayanan begitu sahaja, “Dengan itu drama bermula,” katanya. “Saya ambil keputusan untuk memasuki seminari (Feb 2013) sebagai jalan penyelesaian atas masalah yang saya hadapi ini.
“Selepas satu semester di seminari saya akan buat keputusan untuk keluar dan pada masa itu saya sudah bebas untuk fokus kepada kerjaya.
“Dengan tindakan sebegini, saya berfikir bahawa tidak ada sesiapa pun yang akan tertanya-tanya atau tersakiti kenapa saya tiba-tiba hilang dari pelayanan.”
Namun, Tuhan tahu bagaimana memanggil dan mencukupkan perjalanan umat pilihanNya.
Uskup Agung menyerahkan Patena Piala kepada Fr Lasius untuk digunakan di altar
Satu semester kemudian, “Sewaktu penilaian semester pertama, saya berjumpa dan menyatakan hasrat saya untuk berhenti kepada Fr Wilfred Atin (Rektor CDC pada masa itu). Tetapi dengan ulasan yang panjang, Fr Wilfred menasihati saya agar sekurang-kurangnya menghabiskan pembelajaran setahun dahulu dan sekiranya saya masih dengan keputusan yang sama, tidak ada pihak yang boleh menghalang.
Lasius akur dan meneruskan pembentukan. Setahun berlalu, dia masih di seminari dan tahun demi tahun, dia masih lagi meneruskan pembentukan.
“Sampailah sekarang saya masih melayani Gereja Tuhan, dengan komitmen yang lagi tinggi,” katanya.
Ditanya apa yang membuatkan dia meneruskan perjalanan ini, Lasius berkata, “Di sepanjang perjalanan, banyak pengetahuan baharu yang saya belajar tentang Tuhan dan ini membuatkan saya mahu mengetahui lebih, terutama sekali dalam bidang Spirituality.”
Maka perjalanan pembentukan Lasius berlangsung sehingga akhirnya dia ditahbis menjadi paderi.
Fr Lasius memberkati Uskup Agung John Wong, salah satu ritual selepas pentahbisan
Uskup Agung John Wong berkata dia berdoa agar paderi baharu ini “menjadi seorang paderi yang sederhana, mencontohi St John Vianney.”
Prelatus juga berkata “menurut sejarah, Inobong adalah salah satu kawasan yang paling awal menerima Khabar Baik.
“Syukur kepada Tuhan kerana paroki Inobong juga adalah salah satu komuniti yang telah melahirkan ramai paderi.”
Dia berterima kasih kepada Fr Sunny Chung, Paderi Pentadbir Paroki Holy Trinity Inobong, paderi pembantu Fr Jack Johimi dan semua pihak yang bekerjasama dalam kerja-kerja persiapan pentahbisan.
Fr Lasius bersama Uskup Agung dan para paderi
Fr Lasius bersama keluarganya
Ruang gereja dan dewan terbuka dipenuhi dengan umat yang berpakaian tradisi suku kaum Kadazan Dusun. Mereka yang hadir adalah kaum keluarga Fr Lasius, paderi-paderi daripada Keuskupan/Agung Kota Kinabalu, Keningau, Sandakan dan Kuala Lumpur, wakil dari Kolej St Peter Kuching, religius sisters dan brother dari Franciscan (FSIC), Daughters of St Paul dan Montfort Brothers of St Gabriel serta umat dari outstasi Paroki HTI dan pelbagai paroki lain seperti St Joseph Kiulu, St John Tuaran dan St Joseph Papar.
Antara persembahan pentas yang diadakan adalah persembahan koir dari belia Paroki HTI, persembahan memukul gong dari St Joseph Kiulu dan sketsa lakonan kisah hidup panggilan Fr Lasius dari belia-belia paroki HTI.
Tarian menyambut tetamu, permulaan hari pentahbisan Lasius Gantis
Para hadirin menjamu makan tengahari di Dewan Terbuka Gereja Katolik Madsiang selepas Misa pentahbisan
Acara pemotongan kek
Rakan sekelas Fr Lasius, dari kiri Fr Raymond (Sdkn), Fr Michael Dass (KL), Fr Bede Morti (Kgu), Fr Lasius, Fr Terans Thadeus, Diakon Peter Chung dan Fr Sylvester Wong
Perjalanan pembentukannya
Lasius adalah anak ke-sembilan dari 11 orang adik beradik. Dia lahir pada 16 Dis 1991 kepada bapa Gantis Bohido dan ibu Loimis Gohinsang. Dia menerima pendidikan rendah di SK Moyog Penampang dan pendidikan menengah di SMK Datuk Peter Mojuntin.
Dia memulakan pembentukan di Pusat Pembentukan Diosis Agung Kota Kinabalu (CDC) di Penampang pada Feb 2013, memasuki Tahun Inisiasi di Kolej St Peter KK pada tahun 2014, meneruskan pembentukan di Kolej St Peter Kuching dari tahun 2015-Mei 2021.
Lapan tahun kemudian, dia ditahbis menjadi diakon pada 4 Dis 2021 di Katedral Hati Kudus KK.
Sepanjang pembentukan, dia menjalankan kerja pastoral selama empat bulan di St John Tuaran (2019), empat bulan di Katedral Hati Kudus (2020), satu bulan di St Paul, Long San, Miri (2021) dan St Joseph Kiulu dari Jun 2021 sehingga dia ditahbis.
Fr Lasius akan terus melayani di Paroki St Joseph Kiulu.
Dia adalah paderi ke-enam daripada kawasan hulu Moyog. Lima paderi yang lain sebelumnya adalah Fr Thomas Makajil, Fr Michael Modoit, Fr Mattheus Luta, Fr Florian Marcus dan Fr Gilbert Marcus.
Fr Michael Modoit (kiri) dan Fr Thomas Makajil (kanan) mengenakan vesmen baharu kepada Fr Lasius (Gambar: Fr Lawrence Kim)