Dr Gofri (tengah), Veronica, para AJK KKKK SPCR dan para peserta Kursus Pra-Perkahwinan siri-1 2024 bergambar selepas tamat kursus tersebut
Oleh Clarence Dol
Apr 9 2024
RANAU – Kursus Pra-Perkahwinan bukan sekadar bagi memenuhi syarat untuk berkahwin tetapi juga mempersiapkan pasangan menempuh hidup di alam berumahtangga kelak.
Pengerusi Majlis Pastoral Paroki Ranau (MPPR) Dr Gofri Nenghilon berkata, hidup di alam berumahtangga memberikan cabaran tersendiri kepada semua pasangan, namun doa dan iman menjadi jawapan kepada banyak dugaan dalam hidup ini.
Beliau berkata demikian di dalam ucapan penutupnya semasa Kursus Pra-Perkahwinan siri-1 2024 anjuran Komiti Kerasulan Keluarga Katolik (KKKK) St Peter Claver Ranau (SPCR) pada 21-23 Mac 2024 bertempat di St Bede, Kokob Ranau.
Kursus tersebut dipengerusikan oleh Veronica Dato’ Unsoh dengan bantuan semua Ahli Jawatankuasa (AJK) KKKK SPCR.
Kursus selama tiga hari itu melibatkan seramai 10 pasangan peserta yang telah berjaya mengikuti kursus hingga tamat.
Dr Gofri menambah bahawa kursus tersebut membantu pasangan mempersiapkan diri mereka supaya lebih matang dan memahami dalam persediaan sakramen perkahwinan dan selepas kahwin.
“Saya mengucapkan tahniah kepada setiap pasangan sebab dapat mengikuti kursus selama tiga hari dengan bersemangat dan niat tercapai untuk mendapatkan sijil sebagai persediaan perkahwinan.
“Namun cabaran dan dugaan sebenar akan lebih besar selepas berkahwin nanti. Dan kami berharap apa yang disampaikan dalam kursus ini sedikit sebanyak menjadi panduan berguna dalam hidup berkeluarga nanti.
“Sentiasalah berdoa kepada Tuhan untuk mendapat kekuatan dan keutuhan, terutama sekali dalam hidup keluarga,” katanya sebelum mengakhiri kursus itu dengan upacara penyampaian sijil.