Penyampaian hadiah wang tunai, piala dan sijil daripada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail kepada Fr Thomas Madanan (di tengah memakai baju biru) sebagai Ketua Gereja, Blessed Sacrament Church Labuan.
Oleh SOCCOM BSCL
Oct 21 2022
LABUAN – Kumpulan Koir BSCL (Blessed Sacrament Church Labuan) telah dinobatkan johan dalam Pertandingan Koir Perpaduan peringkat Wilayah Persekutuan Labuan anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 15 Oktober 2022 di Anjung Budaya Taman Damai Perbadanan Labuan.
Kumpulan Koir BSCL terdiri daripada 22 belia berbilang kaum yang diketuai oleh Clarence Michael, bersama konduktor pasukan, Vincent Paul. Lagu pilihan mereka adalah Bahasa Jiwa Bangsa ciptaan Tan Sri Dol Ramli dengan susunan muzik oleh Clarence Michael.
Mereka memilih lagu ini kerana Bahasa Kebangsaan merupakan identiti rakyat Malaysia, seperti jambatan yang menghubungkan rakyat berbilang kaum. Bahasa tidak tersekat kepada pertuturan, ia juga merupakan gaya kehidupan. Bahasa menjadikan kita bersatu padu, saling menghormati dan memahami budaya kaum lain. Melalui lagu ini, Kumpulan Koir BSCL berharap agar rakyat Malaysia dapat menghayati Bahasa Kebangsaan dalam jiwa dan yakin bahawa bahasa adalah jiwa bangsa.
Pasukan tersebut berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 serta piala dan sijil. Mereka sekaligus akan mewakili Labuan ke peringkat kebangsaan yang akan berlangsung pada 30 Oktober 2022 di Kuala Lumpur.
Kumpulan Koir BSCL meraikan kemenangan
Fr Thomas Madanan, Paderi Paroki, menilai kejayaan pasukan tersebut sebagai hasil usaha berterusan umat paroki untuk menghidupi Visi dan Misi Keuskupan Agung. Sikap kerohanian yang bersiap sedia untuk melayani, komitmen yang tinggi dan juga kerjasama daripada ahli pasukan menghasilkan buah walaupun kesuntukan masa untuk latihan. Dengan kesyukuran dalam hati untuk melayani lebih sungguh, Fr Thomas berharap agar Kumpulan Koir BSCL dapat mencapai kejayaan yang lebih tinggi di peringkat kebangsaan.
Kumpulan Koir BSCL dengan ikhlasnya mendermakan hadiah wang tunai RM5,000 tersebut kepada gereja sebagai dana pembangunan gereja baharu.