Krew dan penyampai radio online Kekitaan FM di hadapan studio radio
Oleh Juanis bin Marcus
June 10 2021
KENINGAU – Pada 31 Mei yang lalu, krew dan penyampai Radio Online Kekitaan FM mengambil kesempatan untuk berkumpul bersama meraikan Ulang Tahun ke-8 bulan penubuhannya.
Selain krew dan penyampai, turut hadir adalah Bapa Uskup Cornelius Piong dan para paderi yang melayani di Katedral St Francis Xavier Keningau.
Semasa ucaptamanya, Uskup Cornelius menyeru semua krew dan penyampai terus memperbaiki kualiti pelayanan dan cara penyampaian mereka meskipun Radio Online telah mengecapi pelbagai kejayaan.
Selama lapan bulan ini, Kekitaan FM telah mengumpul lebih dari 20,000 pengikut dan ribuan tontonan di media sosial. Prelatus itu menambah, pentingnya penyampaian info-info rohani di Kekitaan FM bagi menghibur umat yang terbelenggu kesukaran hidup semasa pandemik dan kawalan pergerakan ini.
Didiroy Joneh, Pengurus Kekitaan FM, di dalam ucapannya mengucapkan syabas kepada krew dan penyampai. Dia berkata dia juga terkejut dengan keupayaan semua krew dan penyampai yang begitu cepat berkembang meskipun tidak mempunyai asas sekalipun dalam media penyampaian radio sebelum ini.
Meskipun keraian kali ini cukup sederhana berbanding sebelum ini, namun acara seperti bertukar-tukar hadiah dan makan bersama masih mampu diadakan. Dalam keraian ini juga turut diraikan Ulang Tahun Pentahbisan Fr Bonaventure Unting yang ke-20.