Konferensi Belia CHARIS Malaysia kali pertama bermatlamat menubuhkan dan memantapkan persekutuan pemimpin belia Charis di seluruh Keuskupan
By Herald Malaysia
Jul 27 2023
PULAU PINANG – Konferensi Belia CHARIS Malaysia yang pertama telah melabuhkan tirainya pada 2 Jul lalu dengan impak mendalam di kalangan kaum muda untuk menubuhkan komuniti pemimpin belia CHARIS di seluruh Keuskupan agar hidup dalam Roh.
Dengan tema “Kekudusan Peribadi,” acara empat hari yang berlangsung dari Jun 29 hingga Julai 2 di Basilika Kecil Sta Anna, telah menghimpunkan pelbagai kumpulan anak muda yang mencari pertumbuhan rohani dan mengalami perubahan transformasi dalam iman.
Program ini diketuai oleh Paul Julianose dan tim pengajur belia CHARIS. Ia dimulakan dengan perayaan Ekaristi yang dipimpin oleh Msgr Henry Rajoo.
Dalam homilinya, Msgr Henry menekankan kepentingan untuk datang ke koferensi itu dengan perasaan terbuka dan sebagai satu komuniti.
Semasa menyampaikan ucapan semasa akhir Misa, Msgr Henry menekankan frasa “Alangkah gembira berada di sini” yang harus ada pada setiap peserta semasa menjalani sesi-sesi dalam konferensi. Peserta kemudian dibahagikan kepada dua kumpulan bahasa utama iaitu Bahasa Inggeris dan Mandarin.
Dalam segmen Bahasa Inggeris, Charles Lim mengingatkan para belia bahawa kekudusan bukan semata-mata usaha individu. Katanya ‘kekudusan peribadi’ dicapai melalui perpaduan dan sokongan komuniti.
Fr Simon Lau yang menyampaikan sesi dalam kumpulan berbahasa Mandarin, menyeru para peserta memahami tujuan dan panggilan mereka dalam kehidupan serta memberikan beberapa panduan unik untuk mengejar kekudusan peribadi.
Pada hari kedua, para peserta khusyuk mengikuti sempat sesi yang meneroka pelbagai aspek kekudusan peribadi: Identiti, Dipanggil untuk menjadi Orang Kudus, Pertobatan dan Penyembuhan.
Pada hari ketiga, selepas Misa Kudus, para belia terus aktif dalam tiga sesi katekesis iaitu Road to Emmaus, Conversation in the Spirit, dan Baptism of Fire yang menyedarkan para peserta muda ini untuk memahami misi mereka di dunia.
Kemuncak hari ketiga ini ialah Adorasi kepada Sakramen Mahakudus yang mengukuhkan komitmen para belia untuk meneruskan karya Kristus di dunia.
Pada hari terakhir, dua sesi bertajuk “Realiti Kita Sekarang” dan “Respon Kita Hari Ini” membawa peserta merenung cabaran yang dihadapi dalam dunia hari ini dan meneroka cara praktikal untuk bertindak balas terhadap cabaran-cabaran tersebut melalui kekudusan peribadi dan penglibatan aktif dalam pelayanan.
Konferensi ini diakhiri dengan Misa Kudus penutup yang dipimpin oleh Uskup Sebastian Francis, yang memberi berkat kepada para belia, mengutus mereka agar membuat perbezaan positif dalam komuniti mereka. – Herald Malaysia