Oleh AFLC
Nov 15 2022
KOTA KINABALU – Dalam perjalanan menuju Konvensyen Pastoral Pan Malaysia 2026, ahli-ahli Kehidupan Keluarga Keuskupan Agung (AFLC), dengan kerjasama Kerasulan Kehidupan Keluarga dan Ministri Kateketikal Paroki Stella Maris, Tanjung Aru mengadakan seminar bertemakan “Aku, Keluarga & Iman Ku” pada 22 Okt 2022.
Seminar yang buat kali pertama diadakan sejak fasa wabak Covid-19 itu adalah antara program AFLC dalam mendekati masyarakat dan akar umbi (keluarga). Objektif seminar adalah untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan melalui komunikasi yang berkesan, demi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mereka tentang cabaran dalam hidup, dan mewujudkan keluarga yang bersatu dalam iman, harapan dan kasih sayang.
Seminar setengah hari itu dihadiri oleh 18 pemimpin awam dari PPC, Kehidupan Keluarga, Guru Sekolah Minggu dan ibu bapa yang dimulakan dengan perbincangan kumpulan kecil para peserta mengenai cabaran yang dihadapi masa kini oleh keluarga sendiri di rumah dan juga secara am. Difasilitasi oleh Sr Suzan Guntabid, Ketua AFLC, kumpulan membentangkan penemuan mereka tentang cabaran yang dihadapi dan cara mereka mengatasi halangan tersebut.
Gambar semasa perbincanagn dalam kumpulan
Beberapa penemuan yang jelas ternyata dihadapi dalam keluarga iaitu antara kedua-dua ibu bapa dan anak-anak ialah; komunikasi yang tidak berkesan atau tidak berfungsi, kehilangan pekerjaan dan kekangan kewangan; terutamanya semasa pandemik dan endemik, kesukaran untuk membawa remaja kembali ke gereja dalam era pasca pandemik ini kerana kurang minat dan kemalasan, ibu bapa sukar mengambil atau meluangkan masa yang berkualiti bersama anak-anak mereka atau menjadi katekis pertama mereka, ibu bapa dan kanak-kanak menghabiskan terlalu banyak masa dengan gajet mereka; sebagai ibu bapa sendiri, mereka tidak boleh mendisiplinkan diri.
Beberapa cadangan telah dikemukakan dari setiap kumpulan bagi mengatasi cabaran-cabaran itu: ibu bapa perlu belajar menjadi pendengar yang baik dan menjadi kawan kepada anak-anak mereka, meluangkan masa dan sentiasa menepati janji, berdoa bersama dan memimpin melalui teladan, hidup mengikut kemampuan dan keperluan serta sanggup berkorban melepaskan keinginan material dan hal-hal lain yang tidak penting.
Sesi kedua, input dan perkongsian oleh pasangan AFLC James & Linda bertajuk ‘Komunikasi & peranannya dalam hubungan kekeluargaan’. Kunci paling asas dalam perjalanan keluarga ialah keperluan untuk berinteraksi atau berkomunikasi antara satu sama lain supaya didengari dan difahami, keperluan menyentuh untuk merasa dan disayangi, keperluan untuk berhadapan antara satu sama lain untuk dilihat kehadiran.
Walau bagaimanapun, perkara yang paling diabaikan dan kurang diambil berat dalam kehidupan berkeluarga masa kini ialah mengekalkan komunikasi berterusan dengan Tuhan pencipta kita, yang sebenarnya merupakan kunci dan komponen paling penting dalam kehidupan untuk terus mempunyai keluarga yang gembira dan harmoni.
Sesi terakhir pasangan Julita & Mario menyentuh topik ‘Mendekati dan memahami anak-anak’. Penyampaian dimulakan dengan penerangan tentang realiti peranan sebagai ibubapa dalam dunia moden.
Diikuti dengan perkongsian ringkas tentang teori psikososial perkembangan, personaliti dan apa yang membentuk identiti kita oleh Erik Erikson (1920-1994) yang ditunjukkan oleh lapan peringkat kehidupan; dari peringkat bayi (peringkat 1) hingga Dewasa Akhir (peringkat 8).
Penekanan turut diberikan perbezaan maksud antara hukuman dan pembetulan (Punishment vs Correction) semasa pembentukan anak- anak.
Program diakhiri dengan sesi bergambar.