Uskup Julius Gitom menyerahkan gegantung (bunting) logo Kempen kepada semua paroki pada 9 Sep 2020
By DOSPO
Oct 13 2020
SANDAKAN – Uskup Julius Dusin Gitom telah melancarkan Kempen Lindungi Bumi Kita, Lindungi Anak-anak Kita (Protect Our Earth, Protect Our Children) atau singkatnya, Kempen PROTEC, di peringkat Keuskupan Sandakan pada 4 Okt lalu sempena Pesta Santo Fransiskus dari Asisi, Santo Penaung bagi Haiwan dan Ekologi.
Uskup Julius menyeru semua umat keuskupan agar menyertai kempen ini untuk menjaga alam sekitar dan secara tidak langsung dapat menjaga masa depan generasi yang akan datang.
Kempen PROTEC akan berlangsung selama lima tahun (1 Sept 2020-31 Ogos 2025) dengan tema yang berbeza pada setiap tahun. Tema bagi tahun pertama (1 Sept 2020-31 Ogos 2021) ialah “Kurangkan penggunaan elektrik.”
Menurut Uskup apabila manusia membinasakan hasil ciptaan Tuhan, maka malangnya ia turut membinasakan diri sendiri. Akhirnya jika perbuatan manusia ini tidak dapat dibendung, maka dunia ini tidak dapat dihuni lagi.
Dia juga berkata bahawa penggunaan elektrik juga menyumbang kepada perubahan iklim dan kemusnahan manusia.
Prelatus itu mengingatkan semua umat agar menyertai kempen ini dengan kesedaran diri melalui pengurangan penggunaan elektrik serta dapat mempraktikkan tindakan yang mudah ini walaupun agak susah dilaksanakan.
Pelancaran Kempen PROTEC telah disiarkan di Katedral St Mary, di sini secara online susulan peningkatan kes pandemik virus Covid-19. Acara dimulakan terlebih dahulu dengan Adorasi dan Benediktus pada jam 6.00 petang secara “Earth Hour” di mana semua umat digalakkan untuk menutup lampu selama satu jam.
Terlebih dahulu, Uskup Julius menyerahkan gegantung (bunting) logo Kempen kepada semua paroki sewaktu mesyuarat paderi pada 9 Sept di Pusat Retret St John of the Cross, Ulu Dusun.
Di dalam ucapannya pada hari pelancaran, Diakon Stephen Esguerra, Pengarah Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan Keuskupan Sandakan, berkata kesedaran diri sangat penting dalam melindungi dan memperbaiki kerosakan yang terjadi di bumi ini.
“Menjaga ciptaan adalah tanggungjawab bagi setiap manusia. Akan tetapi ia sukar dilakukan sekiranya tiada pengetahuan dan pertobatan dalam hidup. Oleh itu, pengetahuan dan pertobatan adalah langkah utama bagi memulihkan hubungan sesama kita dengan alam ciptaan Tuhan.”
Diakon menyeru semua umat untuk menyertai Kempen ini dan mengamalkan cara hidup yang mapan demi kelangsungan hidup generasi akan datang.
Gimik pelancaran perkataan PROTEC
Walaupun pelancaran Kempen ini hanya dijalankan secara online, namun setiap paroki juga terlibat di mana para umat bersama-sama menyertai sesi pelancaran tersebut dari kediaman masing-masing.
Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan Keuskupan Sandakan mengajak semua umat untuk bersama-sama menjayakan Kempen ini. Sukarela diperlukan dalam pelayanan ini. Kepada semua umat yang berminat, sila hubungi pejabat Paroki masing-masing di Keuskupan Sandakan.