Uskup Cornelius Piong memberkati Rosari Gergasi yang juga salah satu tempat baru di PZKKNS untuk berdoa
Oleh Juanis Marcus
Sep 20 2023
NULU SOSOPON, Keningau – Keuskupan Keningau mengambil peluang sempena Pesta Santa Perawan Maria diangkat Surga untuk melancarkan sebuah lagi Program Ziarah iaitu, Ziarah Bonda Maria Bersama Keluarga.
Pelancaran program ziarah tersebut diadakan pada 15 Ogos yang lalu, dan diadakan di Pusat Ziarah Keluarga Kudus, Nulu Sosopon. Pelancaran disempurnakan oleh Uskup Cornelius Piong melalui perarakan Statue Bonda Maria seterusnya Misa Kudus. Turut hadir pada pelancaran tersebut adalah Fr Joseph Gapitang (Pembimbing Rohani Komisium Legio of Marie), Fr Appolonius Yakis, Fr Lazarous Uhin, para sister, dan ribuan umat yang kebanyakkannya adalah ahli Legio of Marie.
Menurut Patrick Marius, Pengerusi ziarah tersebut, sesuai dengan nama program iaitu Ziarah Bonda Maria bersama Keluarga, membawa maksud untuk mengajak keluarga agar melakukan ziarah bersama. “Keluarga adalah komuniti terkecil, dengan melakukan ziarah bersama, keluarga akan dapat mengenali Bonda Maria,sehingga mereka akan lebih terbuka untuk menerima Maria sebagai pembimbing keluarga,”jelas Patrick.
Program Ziarah tersebut akan diadakan di Pusat Ziarah Keluarga Kudus, Nulu Sosopon, dan dibuka pada setiap hari Selasa, Khamis dan Sabtu sepanjang bulan September hingga November. Namun, mereka yang ingin melakukan ziarah pada hari yang berlainan bolehlah menghubungi Tim Pelaksana Ziarah.
Diantara pengisian program ziarah tersebut itu kelak adalah, Doa bersama dan Peribadi, Pesan Bonda Maria dari Lourdes (Audio Visual), Misa Kudus dan Pembaharuan Janji Perkahwinan dan lawatan ke tempat-tempat doa. Menariknya lagi, tidak ada yuran khusus untuk program ziarah tersebut, namun terpulang kepada penziarah tersebut untuk memberikan sumbangan kasih.
Uskup Cornelius Piong dalam homilinya, menegaskan agar kita tidak lupa bahawa Bonda Maria bukan sahaja ibu kepada Yesus tetapi juga bonda kepada kita semua. Prelatus itu turut menambah bahawa sifat Bonda Maria yang penting untuk kita teladani adalah sikap peduli kepada keperluan orang lain. Contohnya, Bonda Maria tetap membantu saudaranya, Elisabet yang uzur meskipun dalam masa yang sama Bonda Maria turut mengandung Yesus dalam rahimnya. “Oleh itu kepada keluarga datanglah untuk melakukan program ziarah ini,” tutup prelatus itu.
Antara tujuan lain program ziarah tersebut adalah untuk mempromosikan Pusat Ziarah Keluarga Kudus, Nulu Sosopon sebagai sebuah tempat yang ideal untuk dilawati.
Para penziarah yang berminat untuk ke program ziarah tersebut bolehlah menghubungi Maria (011-59634799), Betty (016-5610167) dan Bonia (013-8560795).
E-Banner Ziarah Bonda Maria bersama Keluarga