Majlis pelancaran radio online Kekitaan FM pada 3 Okt disempurnakan oleh Bishop Cornelius Piong. Dari kiri, Nancy Joneh dan Didiroy Joneh.
Oleh An Richard, Komsos KSFX
6 Okt 2020
KENINGAU – Pada 3 Oktober lepas, Keuskupan Keningau sekali lagi melakar sejarah di mana setelah beberapa lama perancangan, akhirnya Radio Online Katolik pertama di Keuskupan ini berjaya dilaksanakan.
Majlis perasmian Studio Kekitaan FM dan pelancaran aplikasi Kekitaan FM telah disempurnakan oleh YM Uskup Cornelius Piong dan dibantu oleh Dikon Wilfred James.
Radio Online Katolik yang diberi nama Radio Online Kekitaan FM beroperasi di bangunan Wisma Katekatikal Immanuel. Nama “Kekitaan” dicadangkan sendiri oleh Uskup Cornelius Piong berdasarkan slogan Keuskupan Keningau “Kebahagiaan adalah Kekitaan.” Slogan ini turut digunakan dalam Radio Online Kekitaan FM.
Harapan agar radio online ini akan dapat mencapai objektif berdasarkan visi “Memperkasakan pewartaan serta penyampaian maklumat yang benar melalui media massa yang konsisten dan moden berlandaskan kepada Misi dan Visi Keuskupan Keningau.”
Apa yang disediakan di dalam pelayanan radio online Kekitaan FM kepada umat:
- Mendengar Firman Tuhan setiap pagi
- Mendengar berita khususnya dalam mahupun luar Keuskupan Keningau melalui bahan berita yang dipercayai
- Dapat berinteraksi dan menyalurkan maklumat & aktiviti dengan umat secara langsung setiap hari
- Mendengar lagu-lagu rohani
- Melaksanakan program bual bicara secara terus menerus menerusi segmen yang telah dirancang
- Menjemput para pembicara dan panel setiap minggu dalam segmen yang akan diatur kelak.
Persiapan mengambil masa selama dua bulan kelolaan KOMSOS yang diketuai oleh Pengerusi Didiroy Joneh. KOMSOS bertindak sebagai pengurus bagi Radio Kekitaan FM. Latihan dan “hands on training” dilaksanakan dalam tempoh singkat yang dikendalikan oleh penyampai radio daripada Voice of Kinabalu (VoC FM) dan Keningau FM.
Pencarian penyampai radio dilakukan dan ‘dirisik’ sendiri oleh Didiroy dengan melihat kebolehan dan bakat yang ada pada penyampai yang dipilih dari sekitar paroki KSFX dengan harapan bakat yang ada pada mereka dapat diguna pakai di radio online ini.
Turut hadir memeriahkan dan menyaksikan majlis, penasihat KOMSOS John Lainsin, penyampai radio Keningau FM, DJ Hack, para paderi, religius sister dan para penaja studio Kekitaan FM.
“Kita bersyukur kerana tercapainya perlaksanaan Radio Online Kekitaan FM ini,” kata Uskup ketika ditemubual dalam siaran pertama Radio Online Kekitaan FM yang dikendalikan oleh penyampai radio, DJ Kunang.
Bishop Piong membuka tirai sesi temubual pertama dalam Radio Kekitaan FM
“Semoga tugas pelayanan ini disandang dengan tabah oleh para krew dan yang terlibat dalam kelangsungan Kekitaan FM agar pelayanan ini berlandaskan peribadi Yesus.
“Mengendalikan penyiaran dan yang menjalankan tugas, tidak hanya kerana tugas semata-mata tetapi bersemangatkan oleh pelayanan yang didatangi daripada Tuhan sendiri. Fokus kepada tujuan asal perlaksanaan radio ini iaitu penginjilan atau pewartaan khabar baik.”
Uskup menjemput umat dalam pelbagai lingkungan umur untuk mendengar Radio Online Kekitaan FM. Bagi pendapat prelatus, radio online ini merupakan satu medium yang sesuai pada masa teknologi kini. Media massa adalah satu cara yang terbaik dan berkesan untuk pembangunan iman dan bertanggungjawab sosial.
Didiroy yang juga merupakan penerbit Radio Kekitaan FM, dalam ucapannya, berterima kasih kepada semua yang hadir memberikan sokongan khususnya kepada para penaja yang membantu mempersiapkan studio Kekitaan FM.
Dia juga berterima kasih kepada Uskup kerana memberikan kepercayaan penuh kepadanya untuk memimpin ahli-ahli yang terlibat untuk melaksanakan program radio ini.
“Saya harap radio online ini akan menjadi satu medium utama penginjilan di Keuskupan Keningau. Radio Kekitaan FM ini juga merupakan langkah permulaan KOMSOS untuk menyebarkan lagi misi pewartaan di dalam media sosial,” ujarnya.
Pengerusi MPP KSFX, Nancy Joneh yang juga merupakan salah satu penyampai radio Kekitaan FM berharap agar usaha pewartaan melalui media khususnya radio ini berlangsung secara konsisten dan disokong oleh umat.