Pelancaran Kempen “Lindungi Bumi Kami, Lindungi Anak-Anak Kami” pada 5 Sep di Katedral Hati Kudus
Oleh Christina David
Sep 8 2020
KOTA KINABALU – “Lindungi Bumi Kita, Lindungi Anak-Anak Kita” merupakan inti utama misi Kempen Musim Penciptaan untuk tempoh lima tahun di Malaysia. Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan bersama Tim Eco-Outreach (EOT) telah mengadakan pelancaran ini di peringkat Keuskupan Agung Kota Kinabalu pada 5 Sept di Dewan Katedral Hati Kudus di sini.
Kempen yang akan berjalan selama lima tahun bermula 1 Sept 2020 sehingga 31 Ogos 2025 telah disempurnakan oleh Uskup Agung Kota Kinabalu, Uskup Agung John Wong Soo Kau bersama-sama dengan YB Senator Adrian Lasimbang, dan disaksikan oleh Fr Russel Lawrine, Penasihat Rohani Komisi dan Sr Calista Saliun, Koordinator Komisi, berserta 40 orang yang terdiri daripada perwakilan dari setiap paroki, komisi dan religius.
Bagi tahun pertama ini, tema kempen adalah “Kurangkan Penggunaan Elektrik”, Uskup Agung dalam ucapannya menyatakan tentang adanya keperluan mendesak untuk melindungi alam sekitar terutama pada masa-masa yang sukar ini, di mana kita sedang menghadapi situasi pandemik. Selain itu, dia juga mendorong penglibatan setiap umat dalam bekerjasama untuk menjaga dan mencintai ciptaan yang menjadi satu kewajipan kepada kita semua.
Tenaga elektrik yang berasal daripada pembakaran bahan bakar fosil adalah penyumbang kepada sebahagian besar gas rumah hijau yang menyebabkan pemanasan global. Pembinaan empangan mega bukan saja menyumbangkan kepada pelepasan gas rumah hijau malah telah menyebabkan kemusnahan hutan serta gangguan terhadap ekosistem sungai dan kualiti air.
Antara alternatif yang kita boleh amalkan dalam memastikan penggunaan tenaga elektrik secara efisien adalah dengan mematikan peralatan elektrik apabila tidak digunakan, menetapkan suhu penghawa dingin pada 24 darjah Celsius dan ke atas serta beralih kepada pencahayaan LED dan tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga solar.
Dalam ucapannya, Sr Calista Soliun berkata Bapa suci Fransiskus mengingatkan kita pada Musim Penciptaan untuk kembali ke awal masa di mana Tuhan, umat manusia dan ciptaan lain hidup bersama dalam harmoni. Sementara itu, Fr Russel Lawrine, dalam ucapannya mendorong masyarakat untuk menyertai kempen ini dalam melindungi Bumi dan generasi masa depan dengan hanya mengurangkan penggunaan elektrik sebagai sebahagian daripada amalan baru kita dalam kehidupan seharian.
YB Senator Adrian Lasimbang turut dijemput untuk mengongsikan tentang tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga suria serta mengongsikan beberapa petua yang perlu kita ketahui dan perhatikan untuk menjimatkan elektrik seperti pemilihan peralatan elektrik yang efisien, mengurangkan masa operasi peralatan elektrik dan juga menggunakan elektrik dengan bijak.
Para perwakilan yang telah menghadiri pelancaran turut menerima poster dan risalah kempen dari Uskup Agung Kota Kinabalu untuk di bawa balik ke paroki masing-masing dan mengongsikan kepada semua umat gereja. Sesungguhnya, kita mampu membantu menyelamatkan bumi kita melalui tindakan-tindakan kecil seperti menjimatkan penggunaan tenaga elektrik di rumah masing-masing.