Oleh AT, SOCCOM
KOTA BELUD – Seramai 22 orang terbahagi kepada 10 orang dewasa dan 12 kanak-kanak telah menerima Sakramen Pembaptisan di Chapel St Alphonsus, Ulu Kukut, Kota Belud yang disempurnakan oleh Fr Jalius Sading pada 19 Mei 2024.
Salah seorang daripada penerima Sakramen Pembaptisan iaitu Theresa Sikunting Maranggang, 71, dari Kampung Tiur, Kota Marudu berkongsi tentang perjalanannya untuk dibaptis.
Kg Tiur terletak di persempadanan Kota Marudu dan Kota Belud itu masih belum ada Chapel, sebahagian umat menghadiri Ibadat Sabda di Chapel St Alphonsus manakala sebahagian lagi ke St Theresa Kota Marudu.
Berikut merupakan kesaksian Theresa setelah menerima Sakramen Pembaptisan:
Sebenarnya sebelum saya dibaptis di St Alphonsus baru-baru ini, memang saya ada ikut juga sembahyang di gereja bahagian paroki Kota Marudu. Saya ikut sembahyang di sana selama satu tahun iaitu pada tahun 2016 bersama anak saya yang memang sudah dibaptis pada masa itu.
Keinginan saya untuk mengikuti Katolik pada masa itu memang sangat kuat dan saya juga sangat mahu dibaptis tetapi tiba-tiba ada orang memberitahu saya yang tiada guna saya ikut sembahyang lama-lama sebab memang saya tidak dapat dibaptis jika tidak mengikuti kelas Inisiasi Kristian Dewasa (IKD) selama setahun lebih. Selepas saya mendengar orang cakap begitu, semangat saya terus hilang untuk ikut sembahyang dan saya berfikir buat apa juga ikut sembahyang kalau selama-lamanya tidak juga dibaptis. Sejak itu saya tidak pernah sudah ikut sembahyang sehingga anak saya yang kedua bongsu dapat kerja pada tahun 2022.
Mungkin anak saya nampak bahawa saya benar-benar ingin dibaptis. Dia mula bertanya kepada saudara kami di Ulu Kukut berkaitan pembaptisan untuk orang yang sudah tua dan tidak tahu membaca macam saya. Sepupu anak saya lalu memberikan nombor seorang katekis dan mereka telah berbincang untuk datang melawat kampung kami seterusnya meminta nama bagi mereka yang mahu dibaptis. Syukur puji Tuhan, akhirnya setelah perbincangan panjang, kami mula belajar IKD dan telah dibaptis sekarang.
Walaupun kelas IKD yang saya ikuti itu lebih singkat daripada yang lain, saya berasa bahawa saya telah mengenali Tuhan dengan lebih dekat dan Tuhan telah tinggal di dalam hati saya. Sepanjang mengikuti IKD saya bersungguh-sungguh menghafal semua doa-doa yang diminta oleh katekis iaitu Aku Percaya, Bapa Kami, Salam Maria dan Kemuliaan. Oleh kerana saya tidak pandai membaca saya menyuruh anak saya rakam doa-doa yang diminta lalu saya dengar dan saya hafal semua doa itu. Setelah dibaptis, saya merasakan bahawa hanya Tuhanlah andalan saya. Ke manapun saya pergi, apa pun saya perbuat saya selalu berasa bahawa Tuhan bersama saya.