![](https://www.catholicsabah.com/wp-content/uploads/2025/02/5.-Aktiviti-Riadah-bersama-ahli-keluarga-MPP-1-980x735-1.jpg)
Oleh Fettwinda Sipaan
TELUPID – Majlis Pastoral Paroki (MPP) St Martin, Telupid buat julung kalinya telah mengadakan retret pada 19 hingga 21 Jan 2025 bertempat di Liwan’s Cultural Home, Ranau. Retret yang berlangsung selama tiga hari dua malam ini melibatkan penyertaan paderi paroki, 14 orang ahli MPP, seorang seminarian, dua orang staf pejabat paroki, serta beberapa ahli keluarga MPP yang turut memberikan sokongan dalam perlaksanaan program. Sepanjang program, semua yang terlibat menginap di Chelis Home.
Pada hari pertama, sesi Team Building dikendalikan oleh Iira Irda Joannes, yang melibatkan ahli MPP, staf pejabat paroki, dan seminarian. Aktiviti yang dijalankan memberi peluang kepada peserta untuk berfikir secara kreatif dan di luar kotak dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan. Selain itu, aktiviti ini bertujuan untuk memperkukuhkan komunikasi berkesan dan menekankan pentingnya kerjasama dalam satu pasukan. Para peserta berpeluang keluar daripada zon selesa mereka, bekerjasama dalam tugasan berkumpulan, serta memahami nilai kepimpinan berpasukan dalam konteks pelayanan pastoral.
Keesokan harinya, retret dimulakan dengan perayaan Ekaristi, diikuti dengan sesi Spiritual Leadership yang disampaikan oleh paderi paroki, Fr Christopher Ireneus. Dalam sesi ini, para peserta didedahkan dengan tujuh prinsip kepimpinan dalam pelayanan iaitu Humility, Follow Jesus, Service, Risk, Meeting Needs, Delegate dan Multiply. Fr Christopher turut mengupas bagaimana seseorang dipersiapkan untuk S.E.R.V.E melalui Spiritual Gifts, Experiences, Relational Style, Vocational Skills, dan Enthusiasm. Selain itu, peserta juga didedahkan dengan kaedah E.Q.U.I.P dalam membimbing orang lain untuk melayani, iaitu Encourage, Qualify, Understand, Instruct, dan Pray. Konsep T.E.A.M Ministry turut diperkenalkan dengan elemen Togetherness, Empowerment, Accountability, dan Mentoring.
Selepas sesi tersebut, perbualan rohani dalam kumpulan kecil diadakan, di mana setiap peserta berkongsi refleksi peribadi tentang perjalanan iman mereka, pengalaman bersama Tuhan, cabaran hidup, serta perkara yang membahagiakan dan membebankan hati mereka. Kemudian, sesi Peneguhan dan Perdamaian memberi ruang kepada para peserta untuk merenung panggilan kepimpinan mereka dalam pelayanan.
Selain sesi kepimpinan dan rohani, retret ini turut memberi perhatian kepada aspek kekeluargaan. Aktiviti riadah bersama keluarga diadakan bagi menyahut seruan Amoris Laetitia, menekankan kepentingan kesatuan keluarga dalam pelayanan. Pada waktu malam, acara santai bersama keluarga seperti steamboat, barbeku, permainan, dan tukar hadiah memeriahkan lagi program tersebut.
Pada hari terakhir, selepas Misa pagi dan sarapan, Mesyuarat MPP Bil. 1/2025 diadakan bagi membincangkan perancangan untuk Perhimpunan Pastoral Paroki yang akan diadakan pada bulan Mac 2025 serta perkara lain berkaitan pelayanan pastoral. Mesyuarat berakhir pada pukul 12.30 tengah hari, diikuti dengan sesi bergambar dan makan tengah hari sebelum kembali ke tempat masing-masing.
Retret ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan sesama ahli MPP tetapi juga memberi kesedaran mendalam tentang kepimpinan berasaskan iman. Harapan utama selepas retret ini adalah agar setiap peserta, khususnya ahli MPP, dapat terus menghidupi nilai-nilai kepimpinan rohani dalam pelayanan mereka, berani membawa pembaharuan dalam gereja, serta membimbing lebih ramai umat untuk terlibat dalam pelayanan pastoral. Semoga setiap ahli MPP terus melayani dengan penuh semangat dan setia dalam panggilan masing-masing.
“Tuhan telah memanggil kita untuk melayani, dan dalam pelayanan itulah kita menemukan makna sejati dalam iman.” – dospo