Oleh Kat SA (Disunting oleh ES)
KOTA BELUD – Salib dalam pelayanan sebagai seorang katekis datang dalam berbagai bentuk dan keadaan. Namun, demi sebuah pelayanan dan dengan kesedaran bahawa mengikuti Kristus bukan mudah, setiap halangan perlu di tempuhi dengan tabah dan rasa syukur.
Jalan tanah merah yang berlubang-lubang dan licin untuk menuju ke Kampung Dudar bukanlah perkara baru bagi Katekis Suzie Augustine. Namun, perjalanannya pada Nov 3 tidak selancar seperti selalunya. “Perjalanan kami sangat mencabar dengan keadaan jalan yang berlubang-lubang menyebabkan kenderaan kami terbabas dan tayar rosak,” kata katekis Suzie Augustin mengimbas kembali kejadian yang berlaku dalam perjalanan semasa beliau keluar menjalankan pelayanan dalam satu pertemuan Komuniti Kristian Dasar (KKD) yang diadakan di Chapel Salib Suci, Dudar, Kota Belud.
“Memang tidak dinafikan bahawa pelayanan sebagai seorang katekis itu banyak cabarannya namun sebagai seorang pelayan Yesus Kristus, harus memikul salib seperti Dia,” tambah Suzie.
Katekis Suzie tetap bersyukur dengan apa yang dia lalui kerana dia percaya Tuhan tetap hadir dalam insiden tesebut. “Tanpa penyertaanNya kami mungkin tidak sampai ke destinasi” dan bersyukur kerana mereka selamat dari sebarang kecederaan. Beliau turut bersyukur kerana ramai yang datang membantu pada masa itu sehingga membolehkan mereka meneruskan perjalanan ke destinasi yang dituju.
“Pengalaman yang kami lalui itu memang mencemaskan dan membimbangkan, namun kami bawakan segala pengalaman itu dalam doa semasa Ibadat Sabda dan kerana itu dapat menerimanya dengan rasa syukur. Kemalangan tersebut tidak menghalang mencipta kegembiraan bersama umat semasa pertemuan KKD. Ia juga secara tidak langsung memberi dorongan untuk meneruskan pelayanan walaupun terdapat banyak halangan,” kata Katekis Suzie.
Bagi sesama katekis dan juga bagi mereka yang bergiat dalam pelayanan, Katekis Suzie mengajak untuk terus tabah melayani di ladang Tuhan, “walau apa pun halangan yang dihadapi pasti ada jalan keluar dan Tuhan pasti melindungi kita.”