Salah satu penderma darah dalam Kempen Derma Darah
Oleh SOCCOM Divine Mercy KKIP
Mar 10 2023
KOTA KINABALU – Kempen Derma Darah anjuran Gereja Divine Mercy KKIP berjaya mengumpul sebanyak 33 beg darah pada 5 Mac lalu.
Program bermula pada jam 9.30 pagi dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh Fr David Sham.
Selepas Misa, Fr David menyerahkan beg darah kepada Unit Perubatan Transfusi Darah, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas sebagai gimik pelancaran Kempen Derma Darah.
Fr David berkata dalam homilinya, “Semasa musim prapaska ini umat diajak untuk bertobat dan kembali kepada Tuhan iaitu dengan berdoa, berpuasa dan bersedekah.
“Selama berpuasa 40 hari ini membolehkan kita mendalami kisah sengsara Tuhan dan kematianNya yang akan membawa kita bersukacita pada hari kebangkitanNya.
“Kempen Derma Darah merupakan salah satu aktiviti yang sesuai untuk musim prapaska.”
Dia berkata akitiviti seperti ini adalah satu perbuatan amal kasih yang baik untuk menyahut tema musim prapaska iaitu “bersedekah”.
“Amal kasih” tambah Fr David “adalah satu cara untuk menghayati rasa syukur kita untuk semua yang Tuhan telah berikan kepada kita.”
Seramai 73 orang telah mendaftar dalam program ini. Darah yang dikumpul akan disalurkan kepada pihak Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas untuk pesakit yang memerlukan iaitu kanak-kanak Thalassemia dan Leukaemia.
Program selesai pada jam 2.00 petang.